Ethnik Islam Uighur Terus Ditindas

0
219
Masyarakat Islam Uighur dianggarkan seramai 11 juta orang telah ditindas sejak sekian lama (Foto : NYTimes)

25 October 2019 (SNN) : Hari ini, masyarakat Uighur masih lagi menangisi hari-hari mereka yang suram. Kebebasan yang diidamkan seperti etnik lain begitu sukar untuk mereka diperolehi hanya kerana mereka beragama Islam di China. Tinggal di wilayah penghujung China iaitu di Xinjiang, akses kepada pembangunan dan kemajuan buat mereka sangatlah jauh sekiranya dibandingkan dengan bandar-bandar lain seperti Beijing, Shanghai, Guanzhou atau lain-lain.

Wilayah Xinjiang yang digelar sebagai Turkestan Timur oleh aktivis Abdullah Mansour merupakan kawasan berautonomi penuh sejak tahun 1955. Masyarakat Uighur dianggarkan seramai 11 juta orang berada di bahagian barat China. Walaupun dikatakan sebagai kawasan autonomi, tetapi mereka tetap terus dikenakan sekatan oleh kerajaan China.

Ini bukanlah suatu perkara yang baharu, penindasan dan pendiskriminasian yang dialami mereka ini telah berlaku sejak sekian lama. Sama ada kuat atau tidak bagi mereka, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Media antarabangsajuga sudah lama melaporkan layanan kerajaan China yang sangat buruk terhadap masyarakat Uighur. Sungguhpun mereka merupakan warganegara China, dan salah satu etnik China, namun mereka tidak dibenarkan mengamalkan Islam sebagai ajaran agama mereka sendiri. Tahun ini pada bulan Ramadhan yang lepas, larangan berpuasa telah dikenakan kepada kakitangan kerajaan, pelajar dan guru. Ini bukan kali pertama mereka tidak dibenarkan berpuasa. Perkara sama pernah berlaku dua tahun lalu.

Bukan itu sahaja, mereka juga turut dilarang memasuki masjid dan melakukan apa-apa aktiviti keagamaan walaupun untuk bersembahyang. Bagi wanita, mereka tidak dibenarkan memakai hijab di tempat awam di Urumqi, ibu negeri Xinjiang.

Berdasarkan akhbar The Independent yang diterbitkan di United Kingdom, pemimpin Uighur dalam buangan, Dilxat Raxit berkata, kerajaan China menganggap semua penganut agama Islam di Xinjiang sebagai pelampau agama dan pengganas. Malah, kerajaan China turut mempersalahkan masyarakat Uighur sebagai punca serangan pengganas terhadap orang awam dan institusi kerajaan.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia, etnik Uighur dipantau dengan sangat ketat dan perlu memberikan sampel biometrik serta asid deoksiribonukleik (DNA). Mereka ditahan di kem-kem tahanan, didera secara fizikal dan mental, dipaksa memakan khinzir dan membatalkan puasa, dan kebanyakan ahli keluarga mereka juga turut ditangkap dan diseksa. China seolah-olah cuba melenyapkan kehidupan dan kewujudan etnik Uighur dari tanah air yang dikuasai rejim Komunis itu.

Mengimbas sejarah, Xinjiang sebelum ini dikenali sebagai Turkistan Timur ia dibuka ketika zaman Bani Umayyah sejak tahun 96 Hijrah, asalnya wilayah ini milik Islam sebelum dijajah Komunis China. Wilayah Xinjiang yang bersempadan dengan Pakistan dan Afganistan itu sudah 70 tahun dicengkam dan disiat oleh kekejaman kerajaan China dengan menggunakan pelbagai tipu helah agar dunia dan negara Islam luar tidak sedar ‘bangkai’ yang cuba disembunyikan itu daripada pengetahuan umum.

Ajaran Islam, cara hidup Islam termasuk makanan dan minuman yang bertanda halal juga dilarang. Etnik Uighur tidak lagi dibenarkan mengucapkan Assalamualaikum, malah setiap kali solat, selepas tahiyat akhir ketika beri salam digantikan dengan semoga Presiden China, Xi Jinping panjang umur. Tidak boleh sebut ALLAH, tidak boleh mengamalkan agama Islam, semuanya didoktrin bertuhankan kerajaan China. Mereka juga dipaksa minum arak dikhalayak ramai pada bulan puasa.

Masjid juga turut dikunci, dan mereka tidak dibenarkan berpuasa. Ketika bulan Ramadan jika mereka membuka lampu pada waktu sahur, seluruh keluarga akan ditangkap. Malah ketika siang, mereka mesti mengaku tidak berpuasa agar tidak ditangkap.

Pada hari sambutan Tahun Baharu Cina pula, etnik Islam Uighur akan ‘dihadiahkan’ daging babi untuk tujuan perayaan, jika sekiranya mereka menolak mereka akan dituduh sebagai pelampau (ekstremis). Selain itu, masyarakat Islam Uighur juga dilarang sama sekali menyimpan al-Quran, sejadah, ayat-ayat suci atau gambar Kaabah di rumah atau mana-mana premis kerana jika diketahui ia akan dibakar. Makahan apa yang lebih dahsyat lagi, bukan penguasa China yang membakar sebaliknya mereka mengarahkan Islam Uighur sendiri membakarnya.

Masyarakat Islam Uighur juga tidak dibenarkan untuk mempunyai atau menyimpan sebarang senjata tajam mahupun pisau. Jika mengusahakan jualan daging atau makanan lain yang perlu menggunakan pisau, ia mesti diikat di meja atau di tempat berniaga,dan  tidak boleh di bawa pulang.

Walaupun begitu, China masih  ‘membenarkan’ lawatan delegasi luar untuk berkunjung ke Wilayah Xinjiang namun, lawatan itu disusun dan diatur agar yang terlihat hanya sisi murni kerajaan komunis itu. Sehari sebelum kunjungan delegasi luar ke Wilayah Xinjiang, kerajaan republik China akan membuka masjid-masjid yang dikunci selama ini. Kemudian, ditugaskan seorang imam upahan yang akan menceritakan ideologi-ideologi kerajaan China dan dasar kerajaan yang baik-baik sahaja kepada pelawat misalnya etnik Uighur bebas mengamalkan agama Islam.Namun, selepas pelawat pulang, Islam Uighur akan ditekan seperti biasa.

Kunjungan delegasi luar juga hanya dibenarkan melawat di kawasan dan tempat tertentu sahaja bukan boleh melancong sesuka hati, hanya tempat yang dibawa sahaja dan inilah tipu daya China, bertujuan untuk mengelabui mata dunia.

Ethnik Islam Uighur juga tidak mempunyai kebebasan untuk berjunjung ke wilayah-wilayah lain di China walaupun mereka memiliki kad pengenalan dan mata wang negara itu. Mereka tetap akan dilayan dengan teruk, tidak sesekali dibenarkan untuk menaiki kenderaan awam malah tidak boleh juga untuk melanggan hotel.

Selain itu, antara tekanan dan desakan lain yang dilakukan kerajaan China ialah memaksa perempuan etnik Uighur untuk menikahi lelaki bukan Islam daripada etnik Han dengan tujuan anak yang lahir daripada perkahwinan itu tidak lagi Islam. Perempuan Islam di Xinjiang ditegah sama sekali memakai hijab ataupun memakai baju labuh, jika ditemui pihak berkuasa China baju mereka akan dipotong sehingga paras pinggang supaya kelihatan seperti wanita China lain.

Kanak-kanak Islam Uighur dipisahkan daripada ibu bapa dan dipaksa bersekolah dalam aliran China. Bahkan diajar ideologi, bahasa dan pakaian seperti China, bertujuan untuk melenyapkan kewujudan Uighur.

Namun kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya semua bentuk penindasan yang dilakukan ini, Malahan kerajaan China juga menafikan kewujudan kem-kem tahanan, sebaliknya berlindung di sebalik alasan memberikan ‘latihan vokasional’ kepada penduduk di Xinjiang. Sungguhpun kutukan masyarakat antarabangsa semakin bertambah terhadap China, namun masih belum ada mana-mana negara lagi yang mengambil tindakan melebihi kenyataan bantahan terhadap mereka.

Pakistan yang merupakan jiran terdekat wilayah Xinjiang hanya mampu melindungi 2,000 penduduk Uighur. Itupun tidak disenangi oleh China. Disebabkan pelaburan besar China sebanyak AS$62 bilion, dalam Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), yang menghubungkan Kashgar di Xinjiang dengan pelabuhan Gwadar di selatan Pakistan, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh Pakistan.

Itu baru sahaja di Pakistan, belum lagi melihat kepentingan ekonomi China bagi negara-negara lain. Ternyata kepentingan ekonomi negara melebihi nilai kemanusiaan hari ini. Apa yang boleh kita lakukan, hanya berdoa dan mengharapkan ada sinar baru untuk mereka.

Sumber : NYTimes, SH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here