Datuk Ting sifatkan penemuan cecair gas asli di Bukit Kanada, Miri sebagai petanda baik untuk Sarawak

0
97
Datuk Ting menyifatkan penemuan itu sebagai petanda baik

MIRI, 15 SEPTEMBER 2020 (SNN) : Berita penemuan yang dipercayai gas asli cecair di bekas telaga minyak yang ditinggalkan di Bukit Kanada, Miri disifatkan penemuan yang baik oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting.

Beliau ketika ditemui pihak media, semalam menjelaskan perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak dengan menyertakan beberapa bukti awal seperti rakaman video mengenai cecair gas asli berkenaan.

“Saya sudahpun menghantar laporan berkenaan dan rakaman video yang menunjukkan buih-buih gas yang terhasil dan maklum balas yang diterima menjelaskan penemuan itu disifatkan sebagai satu penemuan yang amat baik.

“Saya berharap satu tindakan susulan akan dilakukan kemudiannya bagi melindungi sumber berkenaan, jika benar dan ia disahkan sebagai gas asli,” katanya ketika ditemui ppihak media.

Ujarnya, beliau sendiri akan datang melawat ke kawasan berkenaan selepas balik dari menghadiri sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Sibu.

Beliau menjelaskan perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan kawasan itu kekal selamat dan orang awam yang pergi kesana diminta berjaga-jaga terutama jangan merokok atau membawa sebarang bahan-bahan yang mudah terbakar kerana belum lagi dapat disahkan kuantiti kandungan sebenar gas berkenaan.

Pada petang semalam, beberapa kumpulan pelari Miri Hash House Harier (MHHH) bersama wartawan akhbar See Hua melakukan tinjauan dan rakaman video di kawasan berkenaan menunjukkan dua lubang menghasilkan buih-buih dan air membuak keluar dari perut bumi.

Penemuan itu perlukan kajian yang lebih lanjut daripada pihak yang berkenaan.

Jelas pengerusi MHHH, kejadian itu sebenarnya sudah setahun menyedari akan bau gas yang kuat di kawasan berkenaan setiap kali pihaknya membuat acara larian di situ namun tidak mengendahkannya.

Sekumpulan pelari yang menjumpai lubang berkenaan mengambil inisiatif dengan menebas kawasan berkenaan bagi memudahkan untuk menanda dan senang dijumpai.

Bukit Kanada, Miri terkenal dengan Grand Old Lady iaitu telaga minyak pertama yang dijumpai di Sarawak dan Malaysia pada tahun 1910 dengan catatan sebanyak 600 telaga minyak pernah digali di situ sepanjang tempoh tahun 1910 hingga 1962.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here