Darul Hana Bakal Jadi Bandar Moden dan Pintar

0
425
Abang Jo sewaktu melakukan simbolik perasmian Karnival Darul Hana 2019. Turut sama Dr Abdul Rahman, Mohd Asfia dan Sharifah Hasidah

KUCHING, 13 April 2019 (SNN)- Daru Hana bakal menjadi bandar yang serba moden dan pintar apabila  projek pembangunan Darul Hana di sini bakal dibangunkan sebagai Taman Perumahan Pintar dengan pelbagai kemudahan moden sekaligus meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan tersebut.

Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata demikian semasa merasmikan Karnival Darul Hana 2019 di perkarangan Masjid Darul Hana di sini hari ini.

Menurut beliau, projek perumahan di Darul Hana berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan internet berkelajuan tinggi 5G. “Penyediaan ekosistem penempatan yang moden ini akan menghubungkan masyarakat dengan segenap infrastruktur yang ada menerusi teknologi internet berkelajuan tinggi. Justeru, kita akan bangunkan Darul Hana sebagai model Taman Perumahan Pintar dengan dilengkapi kemudahan internet 5G, kelak. Saya yakin, pembangunan Darul Hana ini akan menjadi teras pembaharuan bandar untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera di Sarawak”, katanya.

Dalam ucapannya juga Abang Jo yakin Sarawak mesti diurus tadbir oleh orang Sarawak sendiri untuk pembangunan yang serasi dengan budaya dan perjuangan asal Sarawak.  “Dalam hal pentadbiran dan pengurusan, hanya kita yang tahu keadaan  sebenar di negeri ini. Sebab itu Sarawak mesti diurus tadbir oleh orang Sarawak sendiri,” tambahnya.

Justeru menurut Abang Jo, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menunaikan tanggungjawab untuk membangunkan Sarawak, namun dalam masa yang sama mesti berhati-hati dan merancang dengan baik dari sudut pentadbirannya. 

“Kita akan latih pemimpin muda untuk ambil alih dan meneruskan usaha ini bermula dari Pehin Sri Tun Abdul Taib Mahmud, mendiang Pehin Sri Adenan Satem dan saya serta pemimpin yang seterusnya.  Bagaimanapun dalam kita merancang kita mesti berhati-hati dan menggunakan input serta cara baru untuk sama-sama membangunkan Sarawak dan Persekutuan Malaysia,” ujarnya.

Hadir dalam majlis yang sama, Menteri Muda Utiliti Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang berkata dalam ucapannya, buat pertama kalinya Muzium Warisan dan Taman Islam akan dibina di Darul Hana.

“Ini bakal memberi manfaat kepada penduduk di Darul Hana apabila projek itu dilaksanakan kelak”. Tambahnya, “Masjid Darul Hana yang berkonsepkan Nusantara ini mempunyai elemen yang unik dan infrastruktur khas serta Taman Islam yang bakal mengelilingi masjid itu dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan”.

Muzium Warisan dan Taman Islam itu bakal menjadi kebanggaan dan tumpuan bukan sahaja untuk rakyat di kawasan Darul Hana tetapi juga pengunjung luar. Tujuan muzium tersebut dibina ialah untuk memastikan warisan lama dan budaya yang sebati dengan kehidupan penduduk disimpan dan diwarisi kepada generasi yang akan datang. Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pembinaan Muzium Warisan dan Taman Islam ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan prasarana perkhidmatan yang baik untuk rakyat.

Karnival yang julung kali diadakan itu bertujuan menyemai identiti Darul Hana dan menyatupadukan masyarakat selain memperkasa peranan masjid itu sendiri sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, dan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Jo bersama sebahagian daripada tetamu jemputan dan orang ramai yang turut sama memeriahkan perasmian  Karnival Darul Hana 2019



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here