Cara Pengurusan Dana Zakat Islam Tarik Minat Bukan Islam

0
231
Abang Jo bersama tetamu jemputan yang lain semasa Majlis Nguar Bubur Masja-sa di Masjid Jamek Negeri di sini (Foto-Pejabat KM)

KUCHING, 08 Mei 2019 (SNN)- Cara pengurusan dana zakat masyarakat Islam telah menarik minat masyarakat bukan Islam untuk mencontohinya. Malahan konsep bersedekah, berkongsi rezeki dan membantu golongan memerlukan wajar diterap dan ditonjolkan dalam diri masyarakat Islam supaya masyarakat bukan Islam juga lebih memahami agama Islam. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, gambaran tersebut dapat dilihat terutamanya pada bulan Ramadan apabila masyarakat Islam berkongsi rezeki bersama-sama masyarakat lain ketika berbuka puasa.

“Kita bersedekah pada bulan Ramadan dan berbuka puasa bersama-sama dengan berkongsi rezeki menggambarkan Islam itu prihatin,” katanya ketika menyempurnakan perasmian Pengagihan Bubur Masja-sa di Masjid Jamek Negeri di sini, petang semalam. Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) turut mengingatkan, budaya luar yang membawa perpecahan dalam masyarakat perlu ditolak supaya perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini tidak tergugat.

Selain itu, Abang Johari berkata pengurusan cekap Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) khususnya dalam pengagihan kutipan zakat berjaya mendapat pengiktirafan dan anugerah daripada pelbagai peringkat dalam negara dan luar negara.“Berteraskan kepada fisabilillah, TBS telah membina aset-aset orang Islam di bandar-bandar utama di Sarawak seperti Kuching, Sri Aman, Sibu dan Miri.

“Langkah ini dilihat dapat mengukuhkan ekonomi masyarakat Islam, sekali gus menggambarkan perpaduan kukuh ummah,” katanya.Tambahnya, susunan ekonomi dan dakwah bergerak serentak itu telah membuka mata penganut lain untuk mencontohi cara masyarakat Islam di negeri ini.“Saya berbincang dengan rakan saya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan mereka telah menunjukkan minat untuk mencontohi cara pengurusan dana zakat kita.“Maka itu, beliau (Uggah) juga hendak menubuhkan satu badan amanah dalam kalangan mereka di bawah Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR),” katanya.

Abang Johari turut menyampaikan sumbangan derma bagi masjid dan surau kepada Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak bernilai RM36,138.00 ( Foto- Pejabat KM)
 

Terdahulu, Pengurus Besar LAKMNS Mohamad Sabry Othman dalam ucapan aluannya berkata, majlis pengagihan bubur itu merupakan salah satu aktiviti kebajikan oleh LAKMNS sempena Ramadan.“Bukan itu sahaja, objektif program ini adalah untuk mendekatkan Ahli Lembaga LAKMNS dengan masyarakat Islam khususnya sekitar bandar ini serta menarik minat masyarakat untuk mendekatkan diri ke masjid. Selain pengagihan 3,000 bekas bubur pada hari ini (semalam), pihak kita turut membuat pengagihan bubur Masja-sa sepanjang bulan Ramadan ini,” jelasnya.

Turut diadakan penyerahan sumbangan derma kepada masjid, surau dan sekolah serta sumbangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim di sekitar bandar raya ini termasuk kawasan Kota Samarahan, Lundu dan Serian dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM152,438.

Abang Johari juga turut menyampaikan sumbangan derma bagi masjid dan surau kepada YBhg. Datu Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak bernilai RM36,138.00.Turut disampaikan adalah Sumbangan Derma Ramadan kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu dan anak-anak yatim sekitar Kuching bernilai RM116,300.00 kepada Tuan Haji Ossen bin Haji Marip, Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Sarawak selaku wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak.

Abang Johari menyampaikan sumbangan derma Ramadan kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu dan anak-anak yatim sekitar Kuching bernilai RM116,300.00 kepada Tuan Haji Ossen bin Haji Marip, Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Sarawak selaku wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (Foto- Pejabat KM)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here