Kota Samarahan ,07 September 2019 (SNN)- Fenomena jerebu yang melanda negara kita sekarang merupakan satu perkara yang amat serius kerana berisiko dalam memberi kesan kepada tahap kesihatan orang ramai. Jerebu adalah keadaan di mana kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel (opalescent) di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan.
Ia disebabkan oleh pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.
Bahan utama pencemar udara semasa jerebu termasuk:
- Bahan partikel yang berukuran kurang dari 10mm/m3 diameter
- Ozon
- Gas karbon monoksida
- Gas nitrogen dioksida
- Sulfur dioksida
Apakah Indeks Pencemaran Udara (IPU)?
IPU ialah indeks yang dibentuk berdasarkan kepada lima bahan pencemar udara seperti yang di atas untuk menunjukkan status kualiti udara dan hubungannya kepada kesihatan dalam pemahaman yang mudah untuk mengambil tindakan seterusnya.
Kesan Jerebu
Kesan jerebu ke atas kesihatan dikaitkan dengan tahap keterukan status kualiti udara. Semakin tinggi tahap IPU, semakin bertambah kesannya kepada kesihatan.
Faktor-faktor lain seperti jangka masa dan intensiti aktiviti luar, tabiat merokok, umur, dan status kesihatan seseorang individu memainkan peranan penting dalam memberi kesan kepada kesihatan.
Kemungkinan kesan kesihatan termasuk;
- Kesukaran untuk bernafas
- Serangan jantung
- Gatal–gatal pada tekak
- Gatal–gatal pada mata
- Jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan
- Gatal–gatal pada kulit
Kebanyakan orang adalah berisiko mendapat kesan kesihatan. Walau bagaimanapun, sesetengah kumpulan adalah lebih tinggi risikonya untuk mendapat kesan kesihatan ini. Kumpulan ini termasuk;
- Kanak–kanak
- Warga emas
- Pesakit yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma dan radang pada saluran pernafasan (bronchitis).
- Pesakit yang menghidapi penyakit jantung dan alahan.
- Perokok
Kanak-kanak, warga emas serta para penghidap penyakit kronik adalah golongan berisiko untuk mengalami kesan buruk akibat terdedah kepada udara yang berjerebu. Jerebu mengandungi partikel yang sangat kecil yang boleh membawa bahan toksik yang dapat masuk ke dalam peparu dan diserap ke dalam darah.
Penghidap penyakit kronik terutamanya penghidap asma (lelah), penghidap obstruksi persafasan kronik, penghidap penyakit jantung, diabetes (kencing manis) dan darah tinggi perlu mengelakkan diri daripada keluar dari rumah sehinggalah tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) kurang daripada 100.
Kajian menunjukkan terdapat peningkatan serangan asma, peningkatan jangkitan pernafasan, pengurangan fungsi peparu, peningkatan kejadian susah nafas, batuk-batuk dan iritasi mata semasa keadaan berjerebu. Ada juga bukti yang mengaitkan peningkatan serangan jantung akibat terdedah dengan udara berjerebu. Oleh itu adalah penting bagi penghidap penyakit-penyakit kronik yang berkenaan untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan jerebu bagi mengelakkan keadaan kesihatan mereka menjadi lebih teruk.
Pemasangan penghawa dingin dan alat penapis udara adalah digalakkan. Aktiviti fizikal diluar boleh diteruskan jika IPU kurang daripada 100. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menghidap asma atau sedang mengalami batuk selsema dan irritasi kulit, mereka disarankan supaya mengelakkan diri dari keluar dari rumah dan bangunan sehingga IPU mencapai kurang dari 50.
Pemakanan yang sihat juga adalah penting semasa musim berjerebu untuk mempertahankan sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri kita dari mendapat pelbagai penyakit yang ada kaitan dengan jerebu .
Air adalah satu keperluan bagi setiap individu. Air diperlukan di dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral dan vitamin. Air juga diperlukan untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah.Air penting untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak .Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan . Semasa musim berjerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat. Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diambil semasa jerebu :
- Tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga 8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi .
- Minum jus serta makan buah – buahan dan sayur- sayuran yang kaya dengan antioksida, vitamin, mineral dan serat bagi membantu melawan penyakit.
- Elakkan pengambilan minuman yang mengandungi banyak kaffein seperti kopi dan minuman beralkohol yang boleh menyebabkan pembuangan air kencing yang kerap dan boleh menyebabkan dehidrasi.
- Pengambilan air suam adalah digalakkan berbanding minuman sejuk /berais kerana tubuh badan akan kehilangan haba dengan cepat yang perlu diganti semula.
- Kurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan kehausan dan dehidrasi seperti makanan masin atau bergaram.
- Makan pelbagai makanan mengikut keperluan untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan.
- Pastikan semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih ,dimasak dan disimpan dalam keadaan yang sesuai sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan.
- Kekal aktif di tempat yang sesuai ( Dalam bangunan /rumah) tetapi elakkan atau kurangkan aktiviti di luar rumah. Elakkan merokok kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara.
- Anda digalakkan makan di rumah dan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan. Lebih baik bungkus makanan dan makan di rumah bersama keluarga.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, Keluarga Sihat, Jabatan Alam Sekitar Sarawak