Anak Melayu dapat anugerah tertinggi, di universiti Amerika!

0
305
Muhamad Saiful Hakimi menerima anugerah Marshal Kehormat Kejuruteraan College of Earth and Mineral Sciences yang disampaikan oleh Prof Dr Zuleima Karpyn (Foto: NST)

PUTRAJAYA, 26 Julai 2019 (SNN)- Seorang anak Melayu berasal dari Malaysia, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang kejuruteraan di Pennsylvania State University, Amerika Syarikat. Muhamad Saiful Hakimi Daud, 24, dari Sungai Petani, Kedah, telah dianugerahkan Marshal Kehormat Kejuruteraan College of Earth and Mineral Sciences, di Pegula Ice Arena pada 3 Mei yang lepas. Beliau merupakan pelajar Malaysia pertama yang dipilih untuk menerima anugerah itu dengan skor penuh Purata Nilai Gred Kumulatiff (PNGK) 4.0.

Dalam satu kenyataan, JPA berkata, pencapaian akademik Muhamad Saiful Hakimi dan kemahiran kepimpinannya yang tinggi mendapat pujian wakil universiti berkenaan. Pelajar cemerlang itu kini mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Petroleum and Natural Gas Engineering Minor in Energy Business and Finance di universiti yang sama.

“Anugerah ini adalah kombinasi kerja keras, usaha dan sokongan daripada kawan dan keluarga,” kata Muhamad Saiful Hakimi Daud, pelajar Malaysia pertama yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang kejuruteraan di universiti Amerika Syarikat itu.

Daud Ahmad, bapa kepada Muhamad Saiful Hakim juga amat terkejut, dalam masa sama berbangga apabila dimaklumkan Muhamad Saiful menerima pengiktirafan ini sekali gus menjadikan  anak beliau sebagai pelajar Malaysia pertama yang dipilih menerima anugerah ini.

Menceritakan lanjut mengenai kejayaan anaknya itu, Daud, 68, berkata, minat Muhamad Saiful dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas bermula sejak anak ketiganya Nur Safinaz, 35, berkerja dalam bidang berkenaan. “Sejak itu, dia sering bertanyakan hal berkaitan minyak dan gas pada kakaknya serta seorang lagi sepupunya yang turut bertugas dalam bidang yang sama setiap kali mereka berjumpa.

“Saya juga bersyukur potensinya terus digilap apabila dia memasuki ke Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM), Durian Tunggal sebelum menyambung pengajian ke peringkat A Level seterusnya ke Pennsylvania State University,” katanya .

Pesara kerajaan itu berkata, dia serta isteri tidak pernah menghalang minat anak mereka, malah menyokong apa jua bidang yang diceburi. Dalam pada itu, Daud mengakui Muhamad Saiful adalah anak yang rajin berusaha dan tidak pernah mengenal erti putus asa terutama dalam pelajaran.

“Saya dapat lihat kesungguhannya apabila dia sentiasa mengekalkan kedudukan teratas dalam peperiksaan di sekolah malah ketika di universiti, Muhamad Saiful memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam setiap semester,” katanya.

Bagaimanapun, Daud meminta supaya masyarakat tidak melihat anaknya itu terlalu sempurna kerana merasakan perjalanan Muhamad Saiful masih jauh dan banyak yang perlu dipelajari anaknya itu. “Walau setinggi mana pun pencapaian anak saya, dia masih seorang manusia yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan.

“Saya hanya berharap kejayaan ini mampu menjadi pembakar semangat buat penuntut yang lain untuk terus berusaha memperoleh keputusan cemerlang yang boleh membanggakan ibu bapa masing-masing,” katanya. Sumber : NST/JPA/ Bernama

Muhamad Saiful Hakim bersama ibu, Jamaliah Kasim dan bapanya, Daud Ahmad.( Foto: Bernama)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here