KUCHING, 20 JANUARI 2021 (SNN) : Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan dana sebanyak RM81 juta bagi pengoperasian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 dalam menangani pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dalam sidang media berkata, peruntukan tersebut termsauklah untuk menubuhkan sebuah makmal Polymerase Chain Reaction (PCR) di Daerah Kapit berikutan sampel yang diuji mengambil masa yang lama bagi mendapatkan keputusan makmal.
“Makmal ini adalah sama seperti yang telah didirikan di Limbang dan Ketua Menteri telahpun meluluskan pembinaannya bagi memudahkan proses saringan di Daerah Kapit lebih mudah dijalankan.
“Usaha ini membuktikan kerajaana negeri bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negeri ini disamping dapat menyediakan kemudahan lain seperti tempat kuarantin serta kapasiti yang cukup untuk menajalankan ujian PCR di Kapit,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 semalam.
Tegas beliau, semua rakyat Sarawak diminta untuk bersama-sama memerangi penularan wabak covid-19 dan tidak hanya bergantung dengan peruntukan serta petugas barisan hadapan sahaja kerana ianya tidak mencukupi.