KUCHING, 06 NOVEMBER 2020 (SNN) : Pilihan Raya Negeri ke-12 mesti dilaksanakan dalam masa 60 hari selepas tempoh lanjutan Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat pada 6 Jun 2021.
Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, keputusan itu tidak dapat dielakkan walaupun negara masih diancam pandemik Covid-19.
“Perkara ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tamatnya tempoh DUN ini adalah pada 6 Jun 2021 akan tetapi lanjutan akan dibuat selama 60 hari mengikut Klausa 4, Artikel 21.
“Selepas tamat tempoh itu, pilihan raya terpaksa juga dilaksanakan kerana itu adalah mandatori secara Perlembagaan,” katanya ketika sidang media di Kompleks DUN, semalam.
Ujarnya, jangka masa lima tahun selepas persidangan pertama DUN pada 7 Jun 2016 lalu akan menggenapkan tarikh 6 Jun 2021 sebagai tarikh untuk mengadakan PRN-12 bagi negeri ini.