SIBU, 16 SEPTEMBER 2020 (SNN) : Keharmonian dalam hidup bersatu padu dengan pelbagai anutan agama di Sarawak harus dipuji contohnya bagi 50 keluarga yang tinggal di Rumah Panjang Jalak, Tanjung Penasu dengan berlatar belakang anutan agama Islam dan Kristian dianggap telah mencapai peradaban yang tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, itulah nikmat yang sebenarnya yang harus dipertahankan oleh setiap masyarakat yang akan membawa kepada kemajuan.
“Saya melihat situasi kesantunan peradaban yang tinggi berjaya dicipta oleh 236 orang penghuni di kawasan ini dan jelasnya mereka itu berjaya mengharmonikan kehidupan pelbagai agama di bawah satu bumbung.
“Saya kagum melihat keharmonian dan kehidupan saling menghormati dapat diterjemah dan dipamerkan di kawasan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Yadim Peduli dan Ziarah Kasih di Rumah Panjang Jalak, Tanjung Penasu, pada Selasa.
Tambah beliau, budaya masyarakat di sini sedikit sebanyak menjadi penyatu dan kita ambil iktibar untuk menjadi pedoman dalam kehidupan seharian sebaliknya jika sentiasa bertelingkah dan menyimpan dendam serta iri hati, masyarakat akan porak-peranda.
Dalam pada itu, beliau telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,000 masing-masing kepada JKKK dan Pusat Komuniti Iban Islam bagi penganjuran pelbagai aktiviti di rumah panjang tersebut.