KOTA SAMARAHAN, 15 SEPTEMBER 2020 (SNN) : Orang awam menjumpai mayat seorang lelaki yang terbaring di kawasan semak berhampiran kilang QL, Tanjung Bundong Industri, semalam.
Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Sudirman Kram berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum mengerah sepasukan Bahagian Jenayah Balai Polis Kota Samarahan ke lokasi bagi membantu siasatan.
“Mangsa, 33 tahun, merupakan seorang peniaga cucur dan sudah berkahwin menetap di Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan.
“Siasatan awal mendapati kesemua barang peribadi termasuk motosikal mangsa masih berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut oleh pasukan polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian terhadap mangsa.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pegawai perubatan dari Pusat Jantung Kota Samarahan.
Susulan itu, mayat mangsa telah dihantar ke Hosptila Umum Kuching dan ditempatkan di bilik mayat sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 sebelum tindakan lanjut dijalankan.
Kes ini setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.