KOTA SAMARAHAN, 4 Julai 2020 (SNN): Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya membuka peluang kepada warga Universiti, alumni dan orang awam, untuk mendapatkan nombor pendaftaran khas tertera nama ‘UNIMAS’ melalui kaedah bidaan.
Nombor plat khas kenderaan tersebut akan bermula dengan abjad ‘UNIMAS’ diikuti dengan rangkaian nombor pilihan dan hanya boleh dibeli secara ekslusif dan secara bidaan menerusi sistem UNIMAS8.
Sementara itu, majlis pelancaran yang dirancang untuk diadakan pada Mac lepas, telah ditangguhkan pada 1 Julai lepas dan telah diadakan dalam majlis ringkas dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa PKPP.
Majlis pelancaran nombor pendaftaran khas UNIMAS tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS,YBhg Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, dan disaksikan bersama oleh Naib Canselor, YBhg Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Bendahari, Pendaftar, ahli Jawatankuasa Eksekutif, wakil JPJ, pengurus dan wakil Bank Rakyat, wakil Maybank dan rakan media.
Sebaik pelancaran dilakukan, sistem dan proses bidaan nombor plat khas “UNIMAS” telah dibuka tepat jam 12.00 tengahari 1 Julai 2020, dan akan ditutup pada 7 Julai 2020 pada pukul 12.00 tengahari untuk bidaan Siri 1/2020.
Nombor yang ditawarkan secara bidaan bermula dengan UNIMAS 1.
Sumber : UNIMAS Canselori