KOTA SAMARAHAN, 27 November 2019 (SNN): Program AMAR Run Series 1 akan diadakan pada 30 November 2019 bertempat di UNIMAS. Program ini dianjurkan oleh Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) UNIMAS dengan Kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak dan Bahagian Dasar & Integriti, UNIMAS.
Objektif program ini adalah untuk menyebarkan nilai-nilai murni terutamanya integriti kepada mahasiswa/i, kakitangan UNIMAS serta masyarakat setempat; mengeratkan silaturahim antara mahasiswa/i, kakitangan UNIMAS dan masyarakat setempat dalam penganjuran aktiviti; dan membudayakan aktiviti bersukan dalam kalangan mahasiswa/i, kakitangan UNIMAS serta masyarakat setempat dalam mewujudkan gaya hidup sihat.
Aktiviti utama yang akan diadakan sempena program AMAR Run Series 1 adalah program berbentuk larian yang akan berlangsung daripada pukul 6.00 pagi sehingga pukul 12.00 tengah hari bertempat di hadapan bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (HEPA) UNIMAS.
Program ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, YB Tuan Chong Chieng Jen dan dijangka akan dihadiri seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar UNIMAS yang terdiri daripada 25 agensi kerajaan, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT/IPTS) dan sekolah.
Program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama antara mahasiswa/i, staf UNIMAS, masyarakat setempat dalam usaha memperkasakan nilai integriti dalam diri, sikap jauhi rasuah, dan nilai-nilai murni.