Kota Samarahan, 26 Jun 2019 (SNN)-Unit Keselamatan Dan Kesihatan (UKKP) UNIMAS menganjurkan program keselamatan untuk warga UNIMAS. Ini termasuklah mengadakan “Health And Safety Representative Training” untuk ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan (JKKP) PTj. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peserta (ahli-ahli JKKP) tentang konsep dan peraturan-peraturan yang berkaitan dalam pelaksanaan fungsi serta tanggungjawab sebagai ahli dalam JKKP PTj.
Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Safety) tidak mungkin dapat bergerak atau digerak secara bersendirian maka pendekatan sebagai satu pasukan yang sama, semangat ambil peduli dan terutamanya kesediaan untuk kerjasama antara semua peringkat ahli JKKP sangat penting untuk meningkatkan keupayaan JKKP PTj. Pihak UKKP UNIMAS akan menganjur latihan yang sama, iaitu siri 2, pada 21 Ogos 2019.
Sehari sebelumnya, Unit Keselamatan Dan Kesihatan (UKKP) UNIMAS dengan kerjasama Pusat Pembelajaran Gunaan Multimedia @ CALM telah mengadakan latihan pengungsian bangunan di CTF 3 & 4. Aktiviti seumpama ini bertujuan sebagai latihan kepada petugas yang dilantik (Ketua Insiden, Pegawai Insiden, Fire Warden, Pasukan Penyelamat dan lain-lain) supaya dapat menjalankan peranan dan tugas dengan baik dan teratur. Aktiviti ini juga bertujuan untuk melatih penghuni bangunan, terutamanya pelajar yang berada di bangunan untuk bertindak dengan teratur dan tenang semasa kecemasan.