KUCHING, 27 Mac 2019 (SNN)- Sarawak Negeri pertama di Malaysia mengguna pakai Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC) untuk penyelenggaraan jalan. Ini kerana penggunaan model Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC) dalam penyelenggaraan jalan di negeri ini lebih baik berbanding Kontrak Berasaskan Kuantiti (QBC).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata faedah PBC kepada kerajaan sangat jelas iaitu penjimatan tahunan antara 10 hingga 20 peratus, masa respons lebih baik dan cepat serta standard penyelenggaraan yang tinggi.
PBC katanya juga memerlukan bajet tahunan yang lebih mudah berikutan kadar tetap yang berbeza bagi jenis kerja, pemindahan kewajipan dan risiko pengurusan kerja dari negeri kepada kontraktor dan membolehkan kontraktor menggabungkan teknologi dan peralatan.
“Kontrak Prestasi pertama kali muncul di Eropah pada tahun 1960 dan 1970 dalam konteks perusahaan awam dan muncul dalam kerajaan pada tahun 1980 di United Kingdom dan New Zealand”, katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak merangkap ADUN N.27 Sebuyau, YB Datuk Haji Julaihi Hj Narawi yang mewakili YAB Ketua Menteri Sarawak merasmikan “Performance- Based Contracts Workshop” yang berlangsung di BCCK, Kuching hari ini.
Dalam pada itu Bengkel PBC yang bermula dua hari bermula hari ini dan esok ini merupakan anjuran Persekutuan Jalan Antarabangsa (RIF) dan CMSB. Bengkel ini bertujuan untuk membawa bersama pemimpin dan pakar dalam bidang PBC dan berkongsi kepakaran serta pengalaman mereka kepada pemain industri.
“Dalam konteks tempatan pula, CMS Roads berada di hadapan dari segi pengalaman mereka kerana telah menjalankan kerja-kerja kontrak penyelenggaran jalan mereka dengan Kerajaan Sarawak menggunakan PBC lebih daripada 15 tahun. Malah, CMS Roads merupakan yang pertama menggunakan PBC dalam Asia Tenggara bagi kontrak penyelenggaraan jalan,”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Korporat Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB), Dato Isaac Lugun berkata PBC diperkenalkan oleh Bank Dunia dan digunakan secara meluas di negara maju seperti Eropah. PBC katanya merupakan model pilihan kerana kontraktor hanya dibayar apabila mencapai indikator prestasi yang ditetapkan. Dengan itu katanya, kualiti jalan yang lebih baik disampaikan dan untuk durasi yang berpanjangan.
“Kerajaan Sarawak merupakan yang pertama di Malaysia mengguna pakai PBC bagi penyelenggaraan jalan negeri. CMS berbangga memainkan peranan penting dalam penyelenggaraan hampir 20 peratus jalan negeri di Sarawak dan terus memperbaiki prestasi,” ujarnya lagi.
