Kuala Lumpur, 08 Mac 2019 (SNN)- Graduan Melayu bertudung dan India didiskriminasi dalam pemilihan temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Ini dibuktikan melalui kajian terkini yang dilakukan oleh pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS). Kajian yang dilakukan oleh Cent-GPS ini mengambil inisiatif melalui pengalaman ditindas di mana dua kakitangan Cent-GPS berbangsa Melayu yang terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan telah diberi tugasan ‘berlakon’ sebagai tujuh individu lain yang mewakili jantina dan kumpulan kaum berbeza dalam resume mereka.
Setiap seorang (daripada tujuh individu/ watak ) telah menghantar 547 resume kepada pelbagai syarikat untuk memohon pekerjaan. Kesemua resume daripada tujuh pemohon tersebut mengandungi latar belakang akademik yang sama dan kelayakan yang setaraf. Mereka berkelulusan Ijazah Perniagaan/ Ekonomi dari Universiti Swasta dalam negara, memiliki CGPA yang sama dan mendapat kelulusan Ijazah Kelas 2 Atas. Selain itu kesemua tujuh individu ini juga masing-masing pernah menjalani latihan industri selama 3 bulan serta mahir berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, English dan Mandarin. Mereka juga berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor serta kesemua mereka tidak mempunyai pengalaman bekerja.
Sebanyak 3,289 resume keseluruhannya telah dihantar bermula pada bulan Disember 2018 hingga bulan Februari 2019. Kesemua jumlah resume itu mewakili permohonan tujuh individu berkenaan yang watak mereka dilakonkan oleh dua kakitangan Cent-GPS tersebut.
Keputusan menunjukkan graduan kaum India dan perempuan bertudung adalah kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta. Ini dibuktikan melalui panggilan temuduga apabila keputusan mencatatkan individu yang mendapat panggilan temuduga yang paling sedikit adalah lelaki India, diikuti oleh lelaki Melayu, seterusnya perempuan India dan perempuan Melayu bertudung.
Keputusan kajian oleh Cent-GPS ini juga mendapati, pemohon daripada kaum Cina adalah yang paling banyak mendapat panggilan temuduga. Ini dibuktikan apabila resume ‘Nicola Yeoh’ mendapat permintaan yang sangat tinggi sehinggakan dia dipanggil menghadiri temuduga sebanyak 240 kali. Seorang lagi individu lelaki Cina bernama ‘Gabriel Liew’ pula dipanggil 179 kali temuduga daripada 547 permohonan yang dihantar.
Bagi pemohon kaum India bernama ‘Thivakar Gunasegaran’, dia perlu memohon sebanyak 28 kali untuk mendapat satu panggilan temuduga manakala ‘Nicola Yeoh’ hanya perlu memohon dua kali untuk mendapat satu panggilan temuduga.
Seterusnya faktor pemakaian hijab turut memainkan peranan untuk graduan wanita memohon pekerjaan apabila kajian berkenaan mendapati perempuan Melayu bertudung hanya mendapat 50 panggilan temuduga daripada 547 pemohonan berbanding perempuan Melayu tidak bertudung yang mendapat 70 panggilan temuduga.
Seterusnya antara penemuan lain yang diketengahkan daripada kajian tersebut yang perlu diberikan perhatian adalah faktor kefasihan dalam bahasa Mandarin. Walaupun sesetengah persepsi menyatakan bahawa kekuatan berbahasa Mandarin merupakan kelebihan bagi graduan kaum Cina untuk mendapat pekerjaan, namun dalam situasi ini, tujuh pemohon terlibat kesemuanya adalah mereka yang fasih berbahasa Mandarin. Namun begitu mereka ( bukan kaum Cina ) masih gagal mendapat panggilan temuduga yang setaraf dengan pemohon daripada kaum Cina.
Kesimpulannya, keputusan kajian menunjukkan wujudnya diskriminasi kaum bukan sahaja kaum Melayu malahan melibatkan kaum India dalam mendapatkan peluang pekerjaan dalam sektor swasta. Berikutan kajian yang dijalankan ini, Cent-GPS menyarankan agar syarikat-syarikat swasta mengambil iktibar untuk mengurangkan jurang peluang pekerjaan antara kaum. Pihak kerajaan juga diminta untuk mengambil perhatian serius tentang isu ini agar diskriminasi kaum sebegini tidak lagi berlanjutan.