182 Penduduk Mukah Terima Surat Hak Milik Bawah Seksyen 18 KTN

0
1538
Awang Tengah bersama tetamu jemputan yang lain

MUKAH 21 Mac 2019 (SNN) : Sebanyak 182 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN telah diserahkan kepada penduduk kampung melibatkan Kampung Penakub Ulu, Kampung Bedanga, Kampung Telian Uku dan Kampung Pegei/Ragei melalui Program Pengukuran Kampung Tradisional hari ini.

Penyerahan surat hak milik tanah ini telah disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera Di Bawah Seksyen 6, KTN dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN serta Upacara Pecah Tanah SPK Kampung Sesok Mukah di Dewan Serbaguna Kampung Sesok, hari ini.

“Setakat 31 Disember 2018, sebanyak 353 kampung melibatkan 47,532 lot rumah kediaman telah pun disukat di seluruh Sarawak menerusi program ini. Di Mukah, Kerajaan Negeri Sarawak telah melaksanakan 38 Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula dengan memperuntukkan sebanyak 6,565 lot. Setakat hari ini, sejumlah 2,021 lot telah diberi hak milik”.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK11), sebanyak RM333.42 juta telah diluluskan bagi menyediakan insfrastruktur di 40 buah Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula di seluruh Sarawak. 8 Skim Pembesaran Kampung telah diluluskan bagi Bahagian Mukah dengan jumlah RM54.83 juta dan dianggarkan akan menyediakan sebanyak 863 lot dalam RMK11,” katanya.

Program Pengukuran Kampung Tradisional ini adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri Sarawak untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah para penduduk kampung bagi kampung-kampung yang telah lama wujud.

Sebelum ini, pada 6 Mei 2018, Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah mengumumkan polisi baru berkenaan penyediaan infrastruktur Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula kepada spesifikasi yang lebih baik. Polisi ini merangkumi penyediaan jalan bertar, perparitan konkrit, penembokkan lot, bekalan air dan elektrik. Langkah ini diambil bertujuan meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim berkenaan. Bagi Skim Pembesaran Kampung Sesok, ianya menelan belanja berjumlah RM22 juta dengan menyediakan 121 lot kediaman di samping menaik taraf kemudahan insfrastruktur sedia ada,” ujarnya.

Mengenai soal pembayaran pampasan, Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan ianya dilakukan selaras dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

“Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai. Dalam projek ini, ia melibatkan pengambilan balik tanah yang berkeluasan 15.31 hektar dan pampasan tanah terhadap pemilik tanah telah selesai dibayar dengan kos pampasan berjumlah RM1.5 juta”.

“Penyediaan insfrastruktur asas telah bermula pada 25 Februari lepas dengan tempoh pembinaan selama 15 bulan di mana tarikh dijangka siap pada 24 Mei 2020,” jelasnya.

Beliau turut menambah, sebanyak RM161 juta telah diperuntukkan sejak 2010 hingga 2018 bagi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu. Pada tahun ini, kerajaan negeri Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta di samping peruntukan-peruntukan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan dahulu”.

“Manakala, Kerajaan Persekutuan sekarang telah meluluskan peruntukan berjumlah RM21.5 juta dan baru-baru ini telah menyalurkan 50 peratus iaitu RM10.75 juta bagi meneruskan program ini pada tahun 2019,” ujarnya.

“Setakat 28 Februari 2019, sebanyak 25,796 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 32,017 hektar (79,116 ekar). Pada tahun ini, sasaran kita ialah untuk mengukur lot-lot individu iaitu susulan daripada 718,522 hektar (1.776 juta ekar) yang telah diwarta untuk dikeluarkan surat hak milik individu”.

Pada hari ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN bagi kampung Sg Alo dan Kampung Tutus Ulu, Mukah. Selepas ini, akan diadakan pengukuran lot secara individu sebelum mendapat surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN.

Secara keseluruhannya sebanyak 879,913 hektar (2.17 juta ekar) Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh Sarawak telah berjaya diukur dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.Jumlah tersebut diukur setakat 28 Februari lepas.

“Berbanding 50 tahun lalu dari tahun 1960 hingga 2010, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) hanya berjaya mengukur 260,000 hektra (642,460 ekar). Ini suatu pencapaian yang membanggakan apabila pengukuran ini melebihi 4 kali ganda berbanding tempoh 50 tahun lalu yang menggunakan kaedah lama”.

Hadir sama Menteri Muda e-Dagang Sarawak YB Mohd Naroden bin Haji Majais, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian YB Abdul Yakub bin Haji Arbi, ADUN Telian YB Yussibnosh, wakil Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood dan Residen Bahagian Mukah Hjh Hamdiah binti Hj Bakir.

Awang  Tengah menyampaikan surat hak milik tanah kepada salah seorang penerima

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here