14 individu ditangkap termasuk 2 pegawai polis terlibat dalam sindiket dadah

0
343
Gambar: Pelbagai cara pembungkusan dadah dilakukan supaya dapat dipasarkan ke Sarawak dan negara jiran.

KUCHING, 10 JULAI 2020 (SNN) : “Harapkan pagar, pagar makan padi,” itulah peribahasa yang boleh digambarkan kepada dua pegawai polis berpangkat Senior di Miri selepas ditangkap bersama 12 individu lain kerana terlibat dalam satu sindiket dadah yang dianggap terbesar pada tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam operasi tersebut telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM10 juta yang di percayai ingin diseludup ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Pengarah JSJN Datuk Ramli Din berkata, kejayaan dalam operasi digelar ‘Nut Crackers’ ini adalah satu kejayaan besar sekaligus merekodkan jumlah tangkapan terbesar sindiket penyeludupan dadah di Sarawak tahun ini.

“Operasi yang berjaya memberkas 14 individu termasuk dua pegawai polis berpangkat ASP dan Sub Inspektor berusia antara 26 hingga 58 tahun itu dipercayai telah menjadi keldai dadah dan bersekongkol dalam sindiket terbabit.” katanya ketika berucap dalam sidang media di Bukit Aman, pada Selasa lepas.

Tambahnya, sebanyak 182 kilogram(kg) dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM10 juta berjaya dirampas yang mana boleh memuaskan 580,000 orang penagih dadah. Hasil serbuan di makmal-makmal turut berjaya merampas 266,750 biji pil Eramin 5, bahan kimia sebanyak 440 kg, dan 13 buah mesin untuk memproses pil dadah jenis Eramin 5.

Gambar : Hasil rampasan semasa operasi ‘Nut Crackers’ selama enam hari.

Susulan itu, jelasnya kesemua suspek kini ditahan reman sehingga tujuh hari bagi siasatan lanjut dijalankan. Tegas beliau lagi, pegawai polis terbabit telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Bahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 manakala 12 lagi suspek disiasat di bawah 39B ADB 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here