KUCHING, 22 OGOS 2020 (SNN) : Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) mengadakan Bengkel Makmal Isu Ekonomi, Pendidikan dan Sosial Melayu Sarawak 2020 bertempat di Hotel Grand Dormani Rajah Court, Kuching di sini, hari ini.
Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr. Hj. Sanib Bin Hj. Said berkata, bengkel ini dilaksanakan bagi menggubal pelan tindakan berlandaskan Pelan Strategik Melayu Sarawak (PSMS) 2035.
“Program yang dijalankan oleh AKYBMS memfokuskan pembangunan anak Melayu Sarawak terutama kepada mereka yang masih di bangku sekolah kerana pembentukan sahsiah dan hala tuju seseorang itu bermula dari sekolah.
“YBMS dalam usaha mencapai objektif melalui lima teras pelan strategik yang berfokus kepada Ekonomi, Pendidikan, Politik, Keluarga dan Belia, Agama dan Budaya,” katanya semasa Pembentangan Pelan Strategik Melayu Sarawak 2035.
Tambahnya, aspek pendidikan amat penting dalam meningkatkan kualiti sosial ekonomi individu dan masyarakat. Sasaran YBMS adalah ingin meningkatkan peratusan dalam keluarga Melayu sekurang-kurangnya di peringkat pendidikan rendah dan menengah 50 peratus darinya setidak-tidaknya memiliki ijazah dan diploma yang berkualiti.
Jelasnya, usaha yang dilaksanakan oleh YBMS melalui program-program setiap tahun adalah bagi mencapai objektif dengan keupayaan dapat melahirkan lebih ramai anak Melayu Sarawak berjaya dan dapat mengubah nasib keluarga kearah lebih berkualiti dan selesa.
Turut hadir sama dalam majlis mantan Timbalan Ketua Polis Negara Ybhg. Tan Sri Dato’ Sri Mohd Jamil Johari, Ybhg. Datu Dr. Hatta B. Solhi, moderator jemputan, Prof. Dr. Shahren Tun Ahmad Zaidi, Pensayarah Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia UNIMAS serta tetamu-tetamu kehormat yang lain.