SARATOK, 02 MAC 2023 (SNN): Seorang wanita maut manakala enam lagi selamat selepas terlibat dalam satu kemalangan berantai yang melibatkan tiga kenderaan di Simpang Roban, Saratok skitar jam 7.23 malam semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat (PGO) Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sebelum mengerahkan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi.
Setibanya di lokasi, didapati tiga buah kenderaan melibatkan tiga jenis kenderaan jenis Perodua Bezza, Mitsubishi Pajero dan Toyota Hilux terbabas di bahu jalan dan terdapat seorang mangsa masih tersepit di dalam kenderaan.
Pasukan penyelamat bertindak membuka pintu kenderaan di bahagian belakang kenderaan Perodua Bezza berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang masih tersepit dan tidak sedarkan diri.
“Maklumat awal yang diperolehi mendapati mangsa yang tersepit dikenali sebagai Masiha Epin dan telah disahkan meninggal dunia setelah diperiksa oleh pegawai perubatan Hospital Saratok.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala enam mangsa yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujar kenyataan itu.
Setelah keadaan terkawal dan dipastikan selamat, operasi menyelamat dihentikan serta-merta dan pihak bomba bertolak balik ke balai.