Usungan dari Kabong Sertai Anugerah Bakat Muda Sezaman 2019

0
480
Usungan dari Kabong, Sarawak ke Kuala Lumpur dengan karya yang bertajuk ‘The Parade of the Usungan'

Kuala Lumpur, 27 September 2019 (SNN)- Balai Seni Negara menganjurkan Pertandingan Anugerah Bakat Muda Sezaman 2019 yang bertujuan melahirkan dan mengangkat bakat anak muda di dalam dunia seni visual tanah air dan juga di peringkat antarabangsa.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, Anugerah Bakat Muda Sezaman (BMS) yang masuk tahun ke 45 penganjurannya sejak 1974 itu kini telah menyempurnakan edisi ke-25 sebagai pertandingan seni kontemporari.

Katanya, program itu selaras dengan objektif Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya untuk menyediakan modal insan yang berilmu, berkemahiran, kreatif dan inovatif dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Program Bakat Muda Sezaman merupakan pameran berbentuk pertandingan yang mana ia dianjurkan setiap dua tahun sebagai satu ruang ekspresi dan eksperimentasi oleh seniman muda.

“Program Bakat Muda Sezaman membawakan konsep terbuka dan makmal dengan penglibatan kurator yang dijemput mengelolakan beberapa siri makmal kurator. Fokus BMS 2019 menjurus kepada bakat dalam bidang penghasilan karya seni serta bidang penulisan dan kuratorial.

Mengambil peluang tersebut, anak jati dari Kabong Sarawak Encik Mohamad Faizuan Mat telah membawa amalan Usungan dari Kabong, Sarawak ke Kuala Lumpur dengan karya yang bertajuk ‘The Parade of the Usungan’. Amalan perarakan Usungan di Majlis Khatamal Al-Quran merupakan satu tradisi turun temurun yang diamalkan oleh masyarakat Kabong, khususnya. Amalan yang unik ini tidak terdapat di negeri lain, ianya hanya terus dipraktikkan oleh masyarakat pesisir di Sarawak dan daerah Kabong.

Mohamad Faizuan Mat bergambar bersama Usungan

Dengan  iltizam untuk meneruskan amalan unik ini dan memperkenalkan kepada  masyarakat secara umum, Mohamad Faizuan Mat yang juga pensyarah di UNIMAS dan seniman lokal Sarawak telah membawa amalan Usungan ini ke Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2019.

Pertandingan dan pameran yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara itu telah diadakan dari 6 Mei 2019 sehingga 6 September 2019 yang lalu merupakan landasan yang berprestij untuk amalan Usungan ini diketengahkan. Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2019 merupakan pertandingan seni visual tertua di Asia Tenggara semenjak diadakan pada 1974 dan telah melahirkan ramai seniman terkemuka dalam bidang seni visual.

Usungan merupakan amalan perarakan yang diadakan di Majlis Khatamal Al-Quran pada setiap tahun di Kabong ini dijalankan khas untuk meraikan kanak-kanak yang baru sahaja menamatkan pengajian Al-Quran mereka. Usungan direka dengan pelbagai bentuk yang tercetus dari keinginan kanak-kanak ini seperti bentuk kapal terbang, burung, sampan, flora dan fauna serta banyak lagi.

Usaha membawa amalan Usungan ke pengetahuan umum seperti ini harus mendapat pujian kerana masih terdapat masyarakat di luar sana yang belum pernah kenal akan budaya unik ini. Sedikit sebanyak ianya mempromosikan keunikan Sarawak kepada umum. Kajian serta pameran yang telah dilakukan oleh Mohamad Faizuan ini telah mendapat sokongan daripada Wakil Rakyat N40 Kabong, Yang Berhormat Mohd Chee Kadir yang sedar akan keunikan dan nilai estetika yang ada pada amalan Usungan ini.

Encik Mohd Chee Kadir berkata adalah menjadi tanggungjawab kita dalam memastikan tradisi dan amalan unik yang terdapat dalam masyarakat kita direkodkan dan dipromosikan kepada umum. Ini bagi memastikan kelestarian amalan dan tradisi ini dapat dinikmati oleh generasi masa hadapan. Kerancakan pembangunan dan kecanggihan teknologi masa kini harus diiringi dengan usaha-usaha untuk mengekalkan dan memperkenalkan amalan dan tradisi yang semakin pupus.

Pameran Usugan di Saradise Kuching

Mohamad Faizuan yang sebelum ini juga telah mengadakan pameran khas Usungan di Saradise Kuching yang bertajuk Usungan: The Presentation of Innovation and Artistic Creation In Bonded Community, Kabong Art Exhibition yang telah dirasmikan oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak pada Februari yang lalu.

Pameran ini telah membuka potensi dan peluang kepada penyelidik lain yang ingin terus memacu dan membangunkan amalan dan tradisi yang ada di Sarawak. Sebelum ini juga, karya video dokumentasi Usungan oleh Faizuan dan kumpulannya memenangi hadiah saguhati di pertandingan Sarawak More to Discover, Indie Video Competition anjuran Sarawak Tourism Federation.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here