KOTA SAMARAHAN, 16 Mac 2019 ( SNN ) : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menandatangani Memorandum Persefahaman bersama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di Staff Lounge, Rumah Universiti pada pagi ini. Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Naib Canselor UTP, Prof. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib adalah penandatangan bagi pihak entiti masing-masing.
Dalam ucapan alu-aluannya, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata UNIMAS sangat menekankan kepentingan penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan sebagai sebahagian dari indeks penanda aras (KPI) dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berorientasikan penyelidikan, aplikasi dan amalan yang menepati kehendak pasaran dan dapat memberi nilai tambah kepada warga UNIMAS khususnya pelajar.
Beliau berkata dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini bersama UTP, adalah menjadi harapan UNIMAS agar jalinan kerjasama strategik ini akan membawa dimensi baharu kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan di UNIMAS untuk meneroka bidang-bidang penyelidikan baharu yang bakal memberi impak yang signifikan kepada masyarakat sejagat. Kerjasama penyelidikan ini juga boleh dijadikan sebagai wadah untuk seterusnya membida geran-geran penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan dibawah MoU ini, antara lainnya adalah aktiviti-aktiviti pengajaran dan penyelidikan seperti pertukaran pelajar dan staf; pelantikan pemeriksa luar untuk pelajar siswazah; merangka, mengadakan kertas cadangan dan membida geran penyelidikan secara kerjasama strategik; penganjuran bersama seminar, persidangan dan syarahan umum; pertukaran dan penulisan dan penerbitan bersama kertas penyelidikan dalam jurnal terindeks & berimpak.
Tambah beliau lagi, melalui kerjasama aktiviti-aktiviti penyelidikan strategik bersama UTP, UNIMAS akan dapat meneroka bidang penyelidikan baharu yang selari dengan keperluan negara dan bakal menyumbang serta memberi nilai tambah dan berimpak kepada masyarakat sejagat di samping melahirkan graduan dan pakar yang lebih kompeten, berkualiti tinggi serta membentuk malim sarjana yang akhirnya akan memberikan kebaikan terhadap pembangunan negara secara keseluruhannya.
Ianya secara tidak langsung akan menyokong kepada aspirasi Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan lagi jalinan kerjasama di antara institusi-institusi pengajian tinggi dalam situasi menang menang yang akan membawa kepada kemajuan bidang penyelidikan dan inovasi serta melahirkan graduan-graduan yang seimbang dalam segenap aspek, sekaligus merealisasikan hasrat murni UNIMAS dan UTP demi kemaslahatan negara.
Turut hadir bersama menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut adalah Prof. Ir. Dr Mohd Shahir Liew, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Prof. Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), dan Prof Dr Lo May Chiun, Pengarah Kanan, Pusat Penyelidikan, Inovasi & Enterprise (RIEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).