Kabong, 24 Oktober 2019 (SNN)- Pada 22 Oktober yang lalu, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong, Sarawak telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran beramai-ramai yang membabitkan 104 murid tahun 6. Daripada jumlah itu, seramai 9 orang peserta adalah dari SJKC Chung Hua Kabong yang turut serta dalam majlis pada tahun ini.
Apa yang unik dan menariknya, sambutan Majlis Khatam Al-Quran beramai-ramai pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ibu bapa serta keluarga murid-murid yang membawa usungan yang dihasilkan sendiri sebagai simbolik hadiah dan penghargaan untuk anak masing-masing yang telah berjaya tamat Al-Quran dengan baik dan lancar. Usungan direka dengan pelbagai bentuk yang tercetus dari keinginan kanak-kanak ini seperti bentuk kapal terbang, burung, sampan, flora dan fauna serta banyak lagi. Murid-murid ini diarak di dalam usungan beramai-ramai dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong bagi menghadiri Majlis Khatamal Al-Quran di sana.
Amalan perarakan usungan di Majlis Khatamal Al-Quran merupakan satu tradisi turun temurun yang diamalkan oleh masyarakat di pesisir Sarawak, khususnya di Kabong. Amalan yang unik ini tidak terdapat di negeri lain, ia cuma menjadi amalan masyarakat Melayu di Sarawak.
Usaha membawa amalan usungan ke pengetahuan umum seperti ini harus mendapat pujian kerana masih terdapat masyarakat di luar sana yang belum pernah kenal akan budaya unik ini. Sedikit sebanyak ianya mempromosikan keunikan Kabong khasnya, dan Sarawak amnya kepada umum. Malahan budaya dan amalan ini boleh memberi kesedaran kepada masyarakat akan keunikan dan nilai estetika yang ada pada amalan usungan ini.
Mohd Chee Kadir, ADUN N.40 Kabong berkata adalah menjadi tanggungjawab kita dalam memastikan tradisi dan amalan unik yang terdapat dalam masyarakat kita direkodkan dan dipromosikan kepada umum. Salah satunya adalah melalui amalan usungan ini yang mana program sebegini dapat memastikan kelestarian amalan dan tradisi ini dapat dinikmati oleh generasi masa hadapan. Kerancakan pembangunan dan kecanggihan teknologi masa kini harus diiringi dengan usaha-usaha untuk mengekalkan dan memperkenalkan amalan dan tradisi yang semakin pupus khususnya di kalangan golongan muda.
Tambah beliau lagi, penglibatan ibu bapa secara menyeluruh dalam majlis sebegini merupakan budaya yang baik di mana ibu bapa dan pihak sekolah berupaya memberi kemaslahatan kepada kedua-dua belah pihak. Sempena Majlis Khatam pada kali ini turut diadakan pertandingan usungan. Sebanyak 30 usungan menyertai pertandingan pada kali ini. Mohd. Chee Kadir juga turut menyumbang sebanyak RM7,000 untuk majlis pada kali ini.
Berucap merasmikan majlis tersebut, ADUN N.40 Kabong melahirkan rasa bangga dengan penganjuran majlis sedemikian kerana ia dapat memartabatkan penghayatan kandungan Al-Quran dalam kalangan masyarakat. Beliau seterusnya berharap agar dipertingkatkan aktiviti menghayati Al-Quran dalam kalangan murid sekolah dan juga di kalangan penduduk setempat.
Dalam masa yang sama, ternyata sambutan Majlis Khatam Al-Quran yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong ini berupaya menghidupkan kembali amalan tradisi usungan dalam masyarakat sekaligus membudayakan dan mendekatkan Al-Quran dalam kehidupan bermasyarakat. “Sesungguhnya, sambutan sebegini akan berupaya membentuk sahsiah terpuji dan akhlak mulia murid-murid di sekolah ini. Semoga, setiap gerak kerja yang dilakukan akan mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT.” ujar Mohd Chee Kadir lagi.
Teks ucapan ADUN N.40 Kabong ini telah dibacakan oleh Pegawai Daerah Kabong, Tuan Haji Mohamad Rashdan Bin Haji Hazemi yang mewakili YB Mohd Chee Kadir. Hadir sama ialah Guru Besar SK Abang Leman, Mokhtar Jaya, Penghulu Haji Sani Haji Mohamad, Penghulu Haji Jarawi Haji Amir serta tetamu jemputan yang lain.