MEKAH, 30 JULAI 2020 (SNN) : Seramai 10,000 umat Islam yang berada di Tanah Suci berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun ini berbanding kira-kira 2.9 juta dari seluruh dunia pada tahun lalu.
Namun begitu, jemaah haji yang memulakan ibadah tersebut hari ini mengamalkan norma baharu iaitu dengan memakai pelitup muka serta melakukan penjarakan sosial sebagai usaha Kerajaan Arab Saudi mencegah penularan Covid-19.
Berdasarkan video yang dimuat naik dalam laman Twitter rasmi CIC Saudi Arabia, dilihat jemaah yang dibawa ke Masjidil Haram sebelum melakukan tawaf dengan mengelilingi Baitullah dibahagikan kepada kumpulan kecil dan hanya dibenarkan melalui laluan yang telah ditetapkan.
Perkara tersebut jelas memperlihatkan perbezaan dengan situasi biasa dilihat sebelum ini dimana kawasan Kaabah dibanjiri jutaan umat Islam seluruh dunia ketika musim haji.
Pada musim haji kali ini, pihak kerajaan hanya menerima sedikit jemaah haji dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini pernah menyatakan bahawa kira-kira 1,000 jemaah yang tinggal di kawasan itu dibenarkan menunaikan ibadah haji namun media tempatan di situ melaporkan hampir 10,000 jemaah dibenarkan menyertai musim haji pada kali ini.
Menurut Kementerian Haji, kesemua jemaah haji turut disediakan kit kelengkapan yang lengkap membabitkan batu kecil yang sudah disterilkan dan juga jemaah yang selesai menunaikan ibadah itu akan dikuarantinkan bagi tujuan keselamatan.-BERNAMA. Nizal.