Semua Lapisan Kepimpinan UMNO Yang Disiasat Kerana Rasuah Mesti Letak Jawatan

0
239

KUANTAN: Kepemimpinan UMNO dipilih semalam yang terpalit dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta meletak jawatan.

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, berkata presiden parti hingga ketua bahagian yang disiasat suruhanjaya itu harus melepaskan jawatan masing-masing.

“Pemimpin UMNO yang dipilih semalam sama ada daripada presiden hingga ketua bahagian yang tahu dirinya dalam siasatan SPRM, sila lepaskan jawatan. Anda hanya menambah imej buruk, membawa kebencian orang Melayu pada UMNO.

“Kita tidak perlukan kepemimpinan anda (untuk menerajui UMNO),” katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp kepada NSTP, di sini, hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam dipilih sebagai Presiden UMNO kelapan selepas menewaskan dua lagi pencabarnya iaitu Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Sementara jawatan Timbalan Presiden UMNO dimenangi Datuk Seri Mohamad Hasan yang menewaskan Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Tajuddin secara sinis, menyatakan barisan kepemimpinan yang dipilih semalam ibarat ‘barisan ke penjara’ dan boleh menghancurkan UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan pemimpin terpalit dengan siasatan SPRM yang berada dalam barisan kepemimpinan UMNO hari ini.

“Sudah separuh nyawa (masih) nak main wayang lagi…baik bubar sahaja. Ahli UMNO bukan Hang Nadim pelindung jenayah pemimpin,” katanya.

Katanya, beliau tidak gentar dikenakan tindakan tata tertib oleh pucuk pimpinan hanya kerana menyatakan pendapat dan kebenaran.

Ahmad Tajuddin dipilih semula menerajui UMNO Bahagian Paya Besar dalam pemilihan parti berkenaan semalam selepas memperoleh 311 undi menewaskan pencabarnya yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah yang memperoleh 190 undi.

Ahmad Tajuddin pernah menjawat jawatan itu pada 2000 sebelum tewas kepada Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada pemilihan UMNO 2013.-Berita Harian Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here