Seminar MA63 Perjelas Tindakan Kerajaan Sarawak Kepada Rakyat di Kawasan Parlimen Santubong

0
329
Kehadiran ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Santubong iaitu ADUN Tanjung Datu, Hajah Jamilah Haji Anu, ADUN Pantai Damai, Dr Haji Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Laut Dr Haji Hazland bersama Ahli Parlimen Santubong Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyemarakkan lagi Seminar MA63

KUCHING, 06 Mei 2019 (SNN)-  Seminar Perjanjian Malaysia (MA63) Peringkat Parlimen Santubong yang berlangsung hari ini menjelaskan kepada rakyat di kawasan Parlimen Santubong tentang tindakan yang diambil oleh Kerajaan Sarawak. Kehadiran ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah Parlimen Santubong iaitu ADUN Tanjung Datu YB Datuk Patinggi Hajah Jamilah Haji Anu, ADUN Pantai Damai YB Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi dan ADUN Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni bersama Ahli Parlimen Santubong YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyemarakkan lagi Seminar MA63.

Seminar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Parlimen Santubong ini adalah medan terbaik buat pemimpin Parlimen dan ADUN memperjelaskan apa tindakan Kerajaan Sarawak dalam menangani isu yang hangat diperkatakan ketika ini.

Majis perasmian telah disempurnakan Menteri Muda (Bekalan Elektrik Luar Bandar) merangkap ADUN Pantai Damai Dr Haji Abdul Rahman Junaidi. Selepas itu, ucap utama bertajuk Hakikat Sebuah Persekutuan “Bermulanya Di Sini” telah disampaikan Ahli Parlimen Santubong Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau telah mengupas panjang lebar mengenai bermulanya Pembentukan Malaysia sehinggalah kepada apa yang berlaku sehingga hari ini khususnya pada 9 April 2019 lepas. Manakala pada sebelah petangnya, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Haji Fadillah Haji Yusof telah menyampaikan ucapan berkenaan ‘Peristiwa 904’.

Peristiwa 904 ini adalah peristiwa yang berlaku selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang hendak dibawa dan dibahaskan bagi bacaan pertama pada 4 April sehinggalah bacaan kali kedua dibentang dan dibahaskan pada 9 April 2019 sebelum satu keputusan dicapai.

Apa yang diharapkan Seminar MA63 ini akan memberikan rakyat di kawasan Parlimen Santubong khususnya DUN Demak Laut pengetahuan dan maklumat mengenai tindakan Kerajaan Sarawak dalam menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 dalam usaha mendapatkan kembali hak rakyat dan Sarawak yang telah terhakis sebelum ini.

Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar semasa menyampaikan penerangan dan maklumat berkenaan MA63 di Seminar MA63 Peringkat Parlimen Santubong di Penview Convention Centre (PCC) Demak, hari ini .

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni pula berkata selain medan terbaik kepada pemimpin, rakyat terutamanya yang berada di kawasan Parlimen Santubong juga perlu mengetahui berkenaan MA63 supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan propaganda pihak pembangkang.

“Kami di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah mengadakan sesi penerangan terhadap MA63 sejak tahun lepas sebelum penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Januari 2019.

“Selepas penubuhan GPS, sesi penerangan ini diteruskan dan alhamdulilah kita telah menjelajah di 28 buah kampung dalam DUN Demak Laut. Sehingga kini, ramai di kalangan rakyat kita di DUN Demak Laut telah mengetahui usaha dan tindakan Kerajaan Sarawak berkenaan MA63,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Seminar MA63 Peringkat Parlimen Santubong di Penview Convention Centre (PCC) Demak, hari ini. Menurut beliau lagi, usaha sebegini akan diteruskan selepas bulan Ramadan dalam usaha bagi memastikan semua rakyat di DUN Demak Laut mengetahui usaha Kerajaan Sarawak mengenai MA63.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here