Sarawak Senarai 7 Bahagian Zon Merah Covid-19

0
629
Kuching merekodkan 69 kes positif Covid-19 diikuti Samarahan sebanyak 16 kes

KUCHING, 29 Mac 2020 (SNN): Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengisytiharkan tujuh bahagian negeri ini sebagai zon merah Covid-19. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bahagian terlibat iaitu Kuching, Samarahan, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Kuching merekodkan 69 kes positif, Samarahan (16), Betong (8), Sarikei (6), Bintulu (5), Miri (9) dan Limbang (6),” katanya pada sidang media di sini, hari ini. Sehubungan itu JPBN akan menjalankan proses pembersihan kawasan yang dikenal pasti sebagai Zon Merah COVID-19.  

Menurut Unggas pembersihan tersebut turut melibatkan proses menyahkuman mengikut prosedur yang ditetapkan. “Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan pasukannya akan membuat penilaian di lokasi yang perlu dilakukan proses tersebut dan kita akan memastikan langkah ini dilakukan secara efektif,” katanya

Uggah yang juga pengerusi JPBN berkata Serian, Sibu, Mukah, Matu, Lawas dan Simunjan diletakkan sebagai zon kuning. Katanya Serian dan Sibu masing-masing merekodkan tiga kes positif manakala Mukah, Matu, Lawas dan Simunjan masing-masing satu kes.

Dalam perkembangan yang sama JPBN juga tidak membenarkan pergerakan di antara daerah.  “Pengecualian pergerakan bagi kes-kes kecemasan sahaja dibenarkan dan hendaklah dibuat melalui Pejabat Daerah masing-masing,” tambah Unggah.

Selain itu, beliau juga berkata semua pekerja pelantar minyak dan gas termasuk yang dari luar Sarawak dikehendaki menjalani perintah kuarantin selama 14 hari sebelum pergi ke pelantar di negeri ini.

Menurut Unggah, Sarawak telah mengenalpasti 13 pusat kuarantin yang telah digunakan. Ia terdiri daripada Institut Latihan KKM Kuching, Kampung Sukan Petronas Miri, Kem Belia Kemunyang Sibu, Stadium Tertutup Limbang, Taman Negara Similaju Bintulu, Stadium Tertutup Lawas, Rumah Temuai Kapit, Institut Pembangunan Desa (INFRA) KOta Samarahan, INTAN Kota Samarahan, Rumah Rehat Sri Aman, Kolej Kejururawatan Sibu, Dewan Suarah Limbang dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Kuching.

Beliau berkata JPBN juga masih dalam usaha mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan pusat kuarantin di daerah-daerah lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here