LIMBANG, 23 FEBRUARI 2021 (SNN) : Pusat Kebudayaan Bisaya di Kampung Batu Danau, Limbang perlu di baik pulih bagi memberi keselesaan untuk menjalankan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat.
Menurut Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip, kerja-kerja baikpulih pusat kegiatan kebudayaan masyarakat Bisaya ini perlu bagi memastikan bangunan tersebut akan menjadi lebih cantik srrta mampu menjadi tarikan pengunjung dari luar selain dapat membantu menjana ekonomi penduduk yang melakukan aktiviti perniagaan.
“Perancangan kita adalah untuk menambab fasiliti di kawasan tersebut dengan penyediaan tempat letak kenderaan, tambah baik sistem peparitan, pembinaan tempat duduk awam serta projek landskap di sekliling bangunan.
“Pusat Kebudayaan ini menjadi tempat berkumpul komuniti Bisaya di kawasan ini untuk meraikan Pesta Adau Babulang pada setiap tahun dengan mengadakan pelbagai aktiviti tradisi masyarakat tersebut dan secara tidak langsung ia menjadi tarikan kepada orang luar yang ingin menyaksikan budaya masyarakat Bisaya,” kata beliau ketika membuat tinjauan keadaan Pusat Kebudayaan Bisaya pada Ahad.
Tambah beliau, kebiasaannya masyarakat Bisaya meraikan pesta itu pada awal bulan Jun setiap tahun walau bagaimanapun aktiviti dan perayaan tersebut tidak dapat dilaksanakan pada tahun lepas dan tahun ini ekoran penularan wabak Covid-19 di negara ini.