KOTA SAMARAHAN, 17 APRIL (SNN) – Program sukarelawan SAMAsiswa Melayu Sarawak telah dilancarkan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada pagi tadi. Penglibatan mahasiswa dalam kegiatan sukarelawan adalah satu amalan yang lazim dan penting dalam universiti.
Sebagai sebuah badan sosial, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) berhasrat mendampingi mahasiswa Melayu Sarawak dalam mempelbagaikan kegiatan pendidikan dan kebajikan dengan program SAMAsiswa Melayu Sarawak. Program ini merupakan hasil kerjasama antara AKYBMS, Kursi Nusantara (Institut Pengajian Borneo, UNIMAS) dan Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS).
Seramai 34 orang mahasiswa telah menyertai program pertama ini. SAMAsiswa Melayu Sarawak ini akan dilaksanakan sepanjang tahun secara berterusan sehingga mereka bergraduat. Peserta kali in terdiri dari 31 orang perempuan dan tiga orang lelaki. Sebilangan besar dari mereka berasal dari Bahagian Kuching namun semua Bahagian telah diwakili, termasuk seorang dari Lawas dan Miri. Pengambilan peserta baharu akan diadakan setiap tahun akademik.
Menimba ilmu
SAMAsiswa Melayu Sarawak telah dilancarkan oleh Profesor Madya Dr. Sahren Tun Ahmad Zaidi Adruce, Pengarah Institut Pengajian Borneo yang mewakili Yang Berbahagia Datuk Profesor Dr. Mohamad Kadim bin Suaidi, Naib Canselor UNIMAS di CTF1 pagi tadi. Di dalam ucapannya, Dr. Sahren berkata bahawa menuntut ilmu adalah usaha yang sangat terpuji dalam ajaran agama Islam. Justeru itu beliau menyeru para mahasiswa hendaklah memanfaatkan sepenuhnya peluang dan kemudahan yang ada untuk menimba ilmu semasa di kampus. Bagaimanapun ilmu ini kemudian hendaklah digunakan untuk kebajikan masyarakat.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Profesor Madya Dr. Abang Ekhsan, Profesor Madya Dr. Hasbie dan Dr. Zaim dari Fakulti Sains Kognitif dan felo Kursi Nusantara.
Sebelum ini Datu Dr. Sanib Said, Pengurus Besar AKYBMS dan Ahli Lembaga Kursi Nusantara di dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada UNIMAS kerana telah memberikan kerjasama dan sokongan yang padu. Beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2017 beliau telah membuat kunjung hormat kepada Naib Canselor, Prof. Dr. Mohamad Kadim untuk membincangkan beberapa perkara termasuk program SAMAsiswa Melayu Sarawak.
Kemudian Sanib telah menyampaikan ceramah tentang sejarah dan Pelan Strategik AKYBMS. Ini adalah penting kerana sebilangan mahasiswa yang hadir belum pernah mendengar AKYBMS. Sesi soal-jawab yang aktif pula menyusul.
SAMAmikir
Program SAMAsiswa Melayu Sarawak adalah untuk memenuhi beberapa objektif Pelan Strategik Melayu Sarawak 2015-2030. Pertama, secara khususnya, menekan Teras Belia untuk membentuk generasi ulul albab yang berdisiplin demi melahirkan pemimpin pelapis. Kedua, membentuk pemimpin muda Melayu Sarawak yang memiliki jati diri, berani, ikhlas dan teguh berjuang. Ketiga, memperkasakan mahasiswa Melayu Sarawak dengan menerapkan proses SAMAmikir dan SAMAbela nasib adik-kakak kita Melayu Sarawak.
Sebagai tindakan susulan SAMAsiswa Melayu Sarawak pertama ini akan mengadakan riadah boling di Bandaraya Kuching pada 20 April ini. Nampaknya mereka sangat teruja. Untuk melihat koleksi gambar lain boleh klik di sini.