KUCHING, 27 Jun 2019 (SNN)- PIBG dan pihak sekolah disaran sentiasa bekerjasama dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk pelajar khasnya, dan pihak sekolah secara umumnya.
Dr Hazland Abang Hipni yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata demikian semasa hadir dan sekaligus merasmikan Program Language in Motion anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seri Setia Tabuan, SK Tabuan, SK Tabuan Hilir di sini, baru-baru ini. Beliau turut melahirkan sokongannya terhadap aktiviti sebegini yang dianjurkan oleh PIBG dan pihak sekolah
Program ini selain didadakan dalam usaha untuk menyerlahkan bakat pelajar, juga dalam masa yang sama mengeratkan hubungan pihak sekolah dan juga ibu bapa. Selain itu turut diadakan pameran yang mempamerkan aktiviti dan program sekolah yang berkaitan dengan Bahasa.
“Melalui pelbagai aktiviti termasuk pameran seperti ini, pelajar bukan sahaja mendapat pengalaman yang tidak boleh mereka dapat dalam sesebuah buku, malah meningkatkan semangat saling bekerjasama dalam pasukan untuk memastikan penganjuran berjaya dilaksanakan. Selain itu, pengalaman yang mereka perolehi itu nanti turut dapat membantu proses perkembangan mereka dari satu tahap ke tahap yang baharu,” ujar Dr Hazland lagi.
Beliau turut berharap PIBG dan pihak sekolah sentiasa bekerjasama dalam menganjurkan program sebegini di masa akan datang.
Pada majlis itu, hadirin yang hadir telah dihiburkan dengan persembahan pentomin daripada pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia mempersembahkan ‘Story in Motion :The Pipe Piper’ dan ‘The Devoted Mother’, dan SK Tabuan mempersembahkan ‘The Adverse Effects of Mobile Smartphone’.

