KUCHING, 23 Jun 2019 (SNN)- Persatuan yang menerima sumbangan peruntukan diminta untuk menggunakannya dengan sebaik mungkin demi mencapai kecemerlangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata sumbangan ini bertujuan untuk membantu persatuan menjalankan aktiviti sekaligus berusaha mencapai kejayaan yang diharapkan.
“Saya mengharapkan persatuan yang menerima sumbangan peruntukan ini akan dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.
“Bantuan ini hanyalah sebagai sokongan kepada persatuan dalam merangka aktiviti dan program yang lebih baik untuk memperoleh kejayaan yang boleh dibanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan ringkas di Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan ADUN N5 Demak Laut kepada persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) serta pesakit kronik.
Antara persatuan yang menerima sumbangan ialah Persatuan Kakitangan Ibu Pejabat Kuching (IPK) Kuching dan Persatuan Ten Pin Bowling Para.
Sementara itu, beberapa pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit kanser, sakit jantung dan stroke serta mereka yang selepas menjalani pembedahan turut menerima bantuan sumbangan.
“Menjadi kelaziman setiap penyakit kronik dan mereka yang selepas menjalani pembedahan akan menerima sumbangan.
“Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban pesakit dan keluarga.
“Menjadi harapan saya semoga anda (pesakit) diberikan ketabahan, keyakinan dan dipermudahkan segala urusan,” tambahnya.