KUCHING, 9 JULAI 2020 (SNN) – Perkauman boleh mengancam perpaduan negeri Sarawak sekira tidak ditangani dengan bijak. Demikianlah antara kata-kata YB Dato Sri Hjh. Fatimah Bt. Abdullah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Sosisal, Keluarga, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak. Beliau telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri di Bangunan Sultan Iskandar, Simpang Tiga, Kuching pagi tadi.
Fatimah juga berkata bahawa kementerian beliau mempunyai Majlis Pembangunan Sosial untuk menguruskan masalah perkauman dan perpaduan di peringkat Bahagian. Dengan penubuhan jawatankuasa baharu ini beliau berharap akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Turut hadir ialah YB Puan Rosey Bt. Hj. Yunus, Menteri Muda Pembangunan Kanak-Kanak dan En. Dirwana Bin Hj. Azool, Pengarah, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Sarawak.
Sebanyak 26 buah jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan badan keagamaan telah dijemput menyertai jawatankuasa ini. Antara pertubuhan yang hadir ialah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak yang diwakili oleh Datu Dr. Hj. Sanib Bin Hj. Said. Apabila ditanya oleh SNN beliau berkata usaha kerajaan dalam menguruskan gejala perkauman pada masa ini sangat penting. Katanya lagi, kebebasan menulis dalam media sosial pada masa telah menyebabkan gejala perkauman semakin menular. Justeru itu beliau akan membangkitkan masalah ini pada masa akan datang. SNN