More
    Home Sarawak Bintulu Penyukatan dan penyerahan surat hak milik tanah NCR akan diteruskan elak berlaku...

    Penyukatan dan penyerahan surat hak milik tanah NCR akan diteruskan elak berlaku pencerobohan

    BINTULU, 08 MAC 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak giat melaksanakan kerja-kerja pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dalam usaha memberi pengiktirafan ke atas pemilikan tanah NCR milik rakyat di negeri ini.

    Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, jabatan tersebut telah menyukat perimeter seluas kira-kira 2.66 juta ekar di seluruh negeri setakat 31 Januari 2023 menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu dengan 2.01 juta ekar daripada jumlah tersebut telah diwartakan.

    Menurutnya, kaedah itu dilaksanakan semenjak tahun 2010 bagi mempercepatkan proses penyukatan tanah NCR agar para pemilik mempunyai dokumen yang menunjukkan persempadanan tanah yang jelas, sekaligus memastikan tanah masing-masing tidak diceroboh.

    “Bayangkan betapa besarnya keluasan yang kita sukat melalui inisiatif baharu ini dan program ini dilaksanakan secara dua peringkat.

    “Pada peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) akan dilaksanakan. Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN akan dilakukan.

    “Pengukuran peringkat pertama ini merupakan kaedah yang pantas dan berkesan di mana kawasan tanah NCR yang luas dapat disukat dengan cepat dalam menentukan persempadanan yang jelas serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan mengeluarkan warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN,” katanya dalam Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6, Seksyen 7 dan Surat Hak Milik Tanah Bagi Seksyen 18 dan Seksyen 13 KTN pada Isnin.

    Timbalan Premier Sarawak itu menambah, penyukatan lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN turut giat dijalankan merangkumi semua kaum bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah NCR.

    “Setakat 31 Januari 2023, sebanyak 66,454 lot individu telah berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 201,235 ekar.

    “Sebanyak 26,113 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN dengan keluasan sejumlah 111,024 ekar,” katanya lagi.

    Manakala beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, Program Pengukuran Kampung Tradisional turut dilakukan sebagai usaha berterusan untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah bagi kampung-kampung yang telah lama wujud sama ada yang telah diwartakan mahupun belum diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN.

    Mengulas lanjut, selesainya penyukatan tersebut, surat hak milik tanah kemudiannya akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18 KTN.

    “Setakat ini, sebanyak 57,703 lot kediaman daripada 386 buah kampung di seluruh Sarawak telah disukat dan 53,824 lot daripada jumlah tersebut telahpun dikeluarkan surat hak milik,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menyeru kepada setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pemilik tanah NCR agar memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Sarawak supaya program-program penyukatan dapat terus dilaksanakan dengan lancar.

    Pada program tersebut, beliau telah menyerahkan 82 surat hak milik tanah kepada 48 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus di bawah Seksyen 18 (Pertanian) Fasa 2 Inisiatif Baharu NCR, 65 surat hak milik tanah kepada 65 penerima di DUN Jepak di bawah Seksyen 18 (Kediaman) Operasi Kampung Tradisi dan 236 surat hak milik tanah melibatkan 153 penerima di DUN Samalaju di bawah Seksyen 13 (Pertanian) Bekas Kawasan Penyelesaian.

    Turut diagihkan adalah warta Rizab Komunal Bumiputera (Rumah Panjang) Seksyen 6 KTN kepada enam penerima melibatkan satu rumah panjang di DUN Kakus dan lima rumah panjang di DUN Samalaju, warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 KTN melibatkan satu penerima di DUN Samalaju dan warta Rizab Komunal (Tanah Perkuburan) Seksyen 6 KTN melibat satu penerima di DUN Samalaju manakala tiga penerima di DUN Kakus pula diberikan warta Rizab Kerajaan (Rumah Panjang) Seksyen 7 KTN.

    Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan; Dato Majang Renggi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak; Datuk Talib Zulpilip, Residen Bahagian Bintulu; Nyurak Keti dan Timbalan Pengarah Pengurusan JTS Sarawak; Awang Zamhari Awang Mahmood.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan pinda undang-undang berkaitan benarkan sektor swasta ambil bahagian dalam aktiviti...

    0
    KUCHING, 03 MEI 2024: Kerajaan Sarawak telah meminda undang-undang berkaitan bagi membenarkan sektor swasta mengambil bahagian dalam aktiviti penjanaan kuasa di negeri ini. Premier Sarawak,...