Penganjuran Aktiviti Sukan Dan Riadah Eratkan Hubungan Sesama Ahli-Ahli PBATM Cawangan Kuching

0
253
Dr Hazland bersama peserta pada Majlis Penutupan Pertandingan Boling 10-Pin Tertutup PBATM Cawangan Kuching Piala Dr Hazland di Riverside Bowling

KUCHING, 15 Disember 2019 (SNN): Penganjuran aktiviti sukan ini bukan sahaja semata-mata untuk beriadah, tetapi juga medan terbaik untuk kukuhkan hubungan dan perpaduan di kalangan ahli Persatuan Bekas Angkatan Tentera Malaysia (PBATM).

Menurut Penaung PBATM Cawangan Kuching Dr Hazland Abang Hipni, beliau amat menyokong penganjuran aktiviti riadah seperti pertandingan boling ini sebagai usaha mengukuhkan silaturahim sesama ahli.

“Sebagai sebuah persatuan yang mempunyai lebih 3,000 ahli adalah penting untuk kita mengukuhkan lagi perpaduan dan mengeratkan hubungan yang sedia ada.

“Menerusi aktiviti sebegini juga kita dapat berkumpul dan beramah mesra sesama kita,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penutupan Pertandingan Boling 10-Pin Tertutup PBATM Cawangan Kuching Piala Dr Hazland di Riverside Bowling di sini baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, seramai 60 orang peserta telah mengambil bahagian di mana setiap peserta di bahagikan kepada 15 kumpulan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menambah, ini merupakan kali pertama PBATM Cawangan Kuching menganjurkan aktiviti riadah sukan boling ini.

“Sukar untuk setiap ahli untuk berkumpul dan berkomunikasi antara satu sama lain disebabkan masing-masing sibuk dengan kehidupan seharian.

“Justeru, penganjuran aktiviti riadah seperti ini adalah cara terbaik untuk setiap ahli berjumpa dan bertukar-tukar idea serta pendapat mengenai masa depan persatuan.

“Malah, ini juga menbolehkan setiap ahli mengemaskini perkembangan dan status semasa ahli selepas lama tidak berjumpa,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here