SEBUYAU, 04 SEPTEMBER 2022 (SNN): Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Daerah Sebuyau disambut dengan penuh kemeriahan dan unik selepas dua tahun tidak diadakan sejak pandemik Covid-19.
Sambutan berkenaan dimulakan pada awal pagi 31 Ogos yang diserikan dengan upacara perarakan perahu berhias yang dihiasi dengan bendera serta diiringi dengan paluan kompang oleh penduduk kampung.
Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau, Jerry Zannuddin Bidin yang mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi turut hadir menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.
Sementara itu, Jerry memberitahu, sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dapat menguatkan semangat patriotik dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
Katanya, rakyat di Sebuyau khasnya perlu sentiasa menjaga perpaduan antara mereka tidak mengira latar belakang, kaum, bangsa dan agama.
“Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. Tema tersebut selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” katanya.
Antara acara pertandingan yang dianjurkan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan adalah pertandingan lagu patriotik, pertandingan pakaian kebangsaan dan pertandingan mewarna yang terbuka kepada semua penduduk Daerah Sebuyau.
Program itu juga dimeriahkan dengan persembahan oleh Family Band @ Geng Pemuzik Sebuyo (GPS) dan tepat detik 12 tengah malam, Jerry mengetuai laungan merdeka diikuti nyanyian lagu Negaraku serta percikan bunga api yang menerangi Pekan Sebuyau.
Hadir sama meraikan majlis ialah Pemanca Asli Yahya, Penghulu Abu Seman, Penghulu Agu Keleng, Penghulu Merum Babu dan jemputan lain.-UKAS.