GEDONG, 24 MAC 2019 (SNN) – Penduduk Gedong memohon mereka dinaikkan taraf kepada sebuah daerah penuh. Pada masa ini Gedung sebenarnya hanya sebuah kampung yang dihimpit dengan Daerah Serian dalam Bahagian Serian dan Daerah Simunjan dalam Bahagian Samarahan. Penduduk di sini keliru semasa melakukan urusan rasmi dengan jabatan dan agensi kerajaan.
Keluhan penduduk ini telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Mohamad Naroden Majais, dalam ucapan alu-aluan semasa perasmian Pesta Gedong pagi tadi. Tetamu kehormat majlis ini adalah Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahma Zohari Tun Abang Openg. Mohamed Naroden adalah wakil rakyat N. 26 Gedong merangkap Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Menteri Muda e-Dagang.
Turut hadir di majlis perasmian adalah YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli serta Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan; Datuk Amar Awang Asfia Awang Nasar, Speaker Dewan Undangan Negeri; Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Jalan Pesisir; YB Dato’ Sri Nancy Shukri, Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong dan lain-lain.
Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg semasa berucap telah mengumumkan penubuhan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) dengan peruntukan RM1.5 billion dalam tempoh dua tahun ini. Di samping itu permintaan rakyat agar sebuah jambatan dibina menyeberangi Sungai Sadong telah diluluskan dengan peruntukan RM50 juta.
Penduduk berpendapat penganjuran Pesta Gedong ini berbaloi apabila mendapat peruntukan pembangunan daripada Ketua Menteri. Wajah-wajah Pemuda PBB dan orang ramai kelihat sangat gembira. Pesta ini telah bermula pada 17 Mac 2019 dengan berbagai-bagai acara seperti Bengkel Tandak Melayu, Bengkel Pemprosesan Mi Kolok, Pameran dan Jualan Usahawan, Klinik Pendidikan dan banyak lagi. Pesta ini mendapat sambutan yang luar biasa dengan pengunjung datang dari Simunjan, Serian dan Kuching.