LAWAS: Kerajaan Sarawak merancang melaksanakan pembangunan semula Pekan Trusan secara berperingkat menerusi Program Pembaharuan Bandar (Urban Renewal Program) bagi mewujudkan sebuah pekan yang lebih moden, teratur dan berdaya maju.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan projek Northern Coastal Highway (NCH) akan memberi kesan kepada beberapa gerai sedia ada di kawasan berkenaan dan peniaga terlibat akan ditempatkan sementara di tapak yang telah dikenal pasti bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti perniagaan.
Menurut beliau, Majlis Daerah Lawas akan menaik taraf kemudahan asas termasuk jalan masuk ke kawasan penempatan sementara tersebut bagi memastikan keselesaan para peniaga.
“Gerai-gerai yang terlibat dengan pelaksanaan Northern Coastal Highway akan ditempatkan sementara di kawasan ini supaya mereka dapat meneruskan perniagaan seperti biasa sementara projek dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak penempatan sementara peniaga di Pekan Trusan, pada Ahad.
Tambah beliau, kerajaan telah meluluskan pelan tempatan pembangunan semula Pekan Trusan yang merangkumi pelbagai komponen bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Antara cadangan pembangunan yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan pejabat daerah kecil, deretan rumah kedai, ruang tamu mingguan, stesen minyak, kawasan parkir kenderaan berat serta beberapa kemudahan lain yang bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Tambahnya lagi kawasan seberang Pekan Trusan juga akan terus dibangunkan termasuk penyediaan perumahan, kemudahan sukan dan kemungkinan pembinaan kediaman untuk penjawat awam mengikut keperluan semasa.
Menurutnya, perancangan tersebut bertujuan menjadikan Pekan Trusan sebagai pusat aktiviti perdagangan dan perkhidmatan yang lebih tersusun, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan penduduk setempat. SUMBER: EDISI UKAS




