Kuching, 10 Julai 2019 (SNN)- Bandaraya Kuching akan menyediakan pelbagai acara menarik dan meriah sepanjang bulan Julai ini. Pelbagai acara menarik yang akan diadakan ini bersempena dengan Rainforest World Music Festival atau RWMF2019 yang akan berlangsung pada 12-15 Julai di Sarawak Cultural Village, Pantai Damai, Santubong.
Sempena dengan penganjuran Rainforest World Music Festival ini YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah telah melakukan lawatan kerja ke tapak Rainforest World Music Festival 2019 di Kampung Budaya Sarawak semalam.
“Selesai sudah lawatan saya ke Kampung Budaya Sarawak yang akan berlangsung Rainforest World Music Festival (RWMF2019) pada 12-14 Julai ini”, ujar beliau yang juga merupakan Menteri Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.
“Syukur alhamdullilah kerja kerja penambah baikan termasuk kemudahan wifi sudah dijalankan. Kita sama-sama berharap agar RWMF2019 akan berjalan lancar dan memberi pengalaman yang indah kepada kesemua pengunjung kita nanti”, katanya.
Turut sama diadakan acara sampingan sempena RWMF2019 seperti “Rainforest Fringe Festival” (RFF2019)yang telah berlangsung pada 5 Julai sehingga 12 Julai ini dan pelbagai aktiviti menarik di Borneo744 di Bintawa, di Old Court House, bangunan DUN Lama dan Kuching Waterfront Gardens.
Pada julung kalinya acara “Rainforest In The City” atau RITC2019 yang telah berlangsung di Kuching Amphitheatre Jalan Taman Budaya bermula pada awal bulan Julai yang lepas. Manakala acara “Rainforest Fringe Festival 2019” atau RFF2019 pula telah dilancarkan pada 5 Julai lepas bertempat di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di Petra Jaya.
Lebih dari 30 aktiviti dan acara yang menarik akan berlangsung di RFF2019 yang memasuki edisi kedua kali ini. Semua adalah dijemput hadir untuk memeriahkan lagi acara acara menarik yang bakal berlangsung di Bandaraya Kuching sempena RWMF2019 kali ini.


