LUNDU, 15 November 2019 (SNN) : Masjid Kampung Sileng Melayu membangkitkan memori Allahyarham Tok Nan sewaktu mula-mula bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu pada 2006.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Haji Anu berkata masjid ini merupakan tempat sembahyang hajat dan sembahyang kesyukuran apabila Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu Menang kali pertama dalam pilihan raya di bawah PBB.
“Saya tidak akan lupa akan kenangan masjid ini. Ianya penuh dengan peristiwa semasa Tok Nan pertama kali menjadi calon PBB mewakili Barisan Nasional.
“Sebelum ini, kawasan ini di bawah parti SUPP. Syukur alhamdulillah, pada tahun 2005 pembahagian di mana Lundu telah diletakkan di N3 Tanjong Datu dan di bawah PBB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Doa Selamat Masjid Darul Iman dan Sambutan Maulidur Rasul 1441H /2019M Zon Lundu pada Ahad.
Tambah Datuk Amar Hajah Jamilah lagi, masjid ini telah dibaik pulih menerusi Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos RM250 ribu.
“Alhamdulillah, hari ini kita sampai ke masjid ini. Kata orang, nilai RM250 ribu tidaklah banyak, tetapi, apa yang dilakukan ke atas baik pulih masjid ini adalah baik dan alhamdulilah,” tambahnya.
Beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM2 ribu untuk mengadakan aktiviti untuk kegunaan masjid dari sumbangan peribadi beliau sendiri.