MIRI, 28 FEB 2019 (SNN) – Pada 28 Februari 1950, malam ini Rosli Dhoby hanya ada kurang dari 24 jam. Selepas waktu Subuh pada 2 Mac 1950 beliau telah dihukum gantung dalam penjara di Kuching oleh pemerintah penjajah British. Beliau dikatakan telah beribadah sepajang malam dan sepanjang hari agar perjuangannya menentang penjajah kafir direstui Allah sebagai perjuangan fisabilillah.
Untuk mengenang perjuangan dan pengorbanan pejuang ini satu majlis tahlil telah diadakan di Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak, Miri malam ini. Majlis ini adalah anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dengan kerjasama Lembaga Kebajikan Melayu Miri dan Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak, Miri.
Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said, Pengurus Besar AKYBMS berkata Majlis Tahlil Rosli Dhoby dan Rukun 13 merupakan acara tahunan untuk mengenang pengorbanan dan keberanian pejuang Melayu pada masa silam. Di samping Rosli Dhoby para sahabat beliau adalah Awang Ramli Amit bin Deli, Bujang bin Sutong, Morshidi bin Sidek. Pada tahun lepas majlis serupa telah dibawa ke Sibu, tempat lahir para syuhada tersebut dalam siri program SAMAceramah.
Turut hadir malam ini adalah Encik Ashuadi Haji Ismail, Setiausaha Eksekutif, Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri; Tuan Haji Shaikh Naeemuddin bin Shaikh Aminullah, Pengerusi, Masjid Darul Istiqamah dan Encik Muhammad Jumaedah Nahar, Imam 1. Lebih dari seratus orang telah hadir di majlis tersebut pada malam ini, termasuk jemaah wanita.
Acara ini akan diteruskan pada 2 Mac 2019 di tempat yang sama bersama tiga orang sejarawan. Sanib Said, seorang sejarawan terkenal yang telah mengkaji peristiwa ini hampir 40 tahun dahulu akan menghuraikan pembentukan nasionalisme Melayu Sarawak. Samsol Morshidi Bujang, sejarawan muda lulusan Institut Pengjaian Borneo, UNIMAS akan mengupas kontroversi penyerahan Sarawak menjadi koloni sehingga memuncak dengan assassinasi oleh Rosli Dhoby. Pembentangan ketiga akan dibuat oleh Azuan Jemat dari AKYBMS dan calon Sarjana, Univeristi Malaya akan memaparkan sumber asli tentang perjuangan Rukun 13.
YB Puan Hajah Rosey Yunus, Menteri Muda Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak merangkap ahli Lembaga Pemegang AKYBMS, akan merasmikan acara pada 2 Mac 2019. Orang ramai di Miri dijemput hadir mulai jam 8:30 pagi untuk pendaftaran. Pelajar sekolah menengah di sekitar bandar Miri telah dijemput khusus sebagai peserta acara ini.