KUCHING, 13 Disember 2019 (SNN): Majlis Penghargaan Atlet UNIMAS 2019 yang dianjurkan oleh Pusat Sukan UNIMAS telah diadakan baru-baru ini bertempat di Balai Merdeka, Merdeka Palace Hotel & Suites,Kuching.
Seramai 200 orang atlet UNIMAS telah dirai sebagai penghargaan di atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka sepanjang tahun 2019. Majlis telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS (LPU) YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong bin Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohd Kadim bin Suaidi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr Wan Hashim bin Wan Ibrahim, Pendaftar UNIMAS, Encik Henry Tening Ak Sengeng, Pengarah Pusat Sukan, Profesor Dr Azhaili bin Baharun, dekan-dekan fakulti dan ketua PTj UNIMAS.
Prof. Dr Azhaili dalam ucapannya berkata, “majlis ini dianjurkan bermatlamat memberi dorongan dan suntikan motivasi kepada para atlet agar sentiasa mempertingkatkan lagi usaha serta prestasi mereka dalam bidang sukan. UNIMAS amat berbangga dengan pencapaian para atletnya khususnya penyertaan di peringkat IPT dan kebangsaan. Selain itu, kejayaan menganjurkan UNIMAS International Regatta 2019 di Tasik UNIMAS pada Oktober lepas telah menjadi kayu pengukur untuk penganjuran acara berskala besar pada masa yang akan datang”. Akhir sekali, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama semua pihak iaitu para atlet universiti (staf & pelajar), para jurulatih, pengurus pasukan, persatuan-persatuan, kelab-kelab, warga Pusat Sukan khususnya dan juga tidak ketinggalan para sukarelawan yang banyak membantu Pusat Sukan dalam memastikan kejayaan program yang dianjurkan atau disertai.
Manakala Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim bin Suaidi berkata,”sukan bukan semata-mata pentas persaingan atlet, hobi atau hiburan malah ianya jelas menjadi wadah yang mampu mengeratkan silaturrahim antara kaum tanpa mengira bangsa mahupun agama.”
Beliau turut menzahirkan harapan agar semua atlet dapat memantapkan lagi usaha dan meningkatkan kejayaan yang telah dicapai ke peringkat yang lebih membanggakan. Pembangunan dan pencapaian sukan di UNIMAS semakin berkembang dan cemerlang dari tahun ke tahun. Pencapaian sukan 2019 jauh lebih cemerlang berbanding tahun 2018. Ia terserlah terutama dalam sukan air apabila pasukan mendayung UNIMAS mengekalkan kejuaraan tiga tahun berturut-turut Perahu Kenyalang kategori IPT sempena Regatta Sarawak 2019.
Sebanyak 23 penerima pingat beserta sijil dan 10 penerima khas beserta sijil dan piala daripada Pengerusi LPU UNIMAS dan Naib Canselor UNIMAS di atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka. Senarai penerima khas tersebut adalah seperti berikut:
1. Hamdan bin Mohamad (Jurulatih Kayak UNIMAS)
2. Sally Yap Yu Ying (FEP) – Kayak & Mendayung
3. Evvia Veno (FSSK) – Kayak & Mendayung
4. Nazrin bin Wagiman (Pej. Bendahari) -Tenpin Bowling
5. Clinton Ngawal Stephen (FSSK) – Kayak & Mendayung
6. Adam bin Fabian (FK) – Karate
7. Abner Lu Chun Lik (FPSK) – Tenpin Bowling
8. Celin Grace Aloysius (FSSK) – Karate
9. Pasukan Mendayung Campuran (UNIMAS Lanyek)
10. Pasukan Mendayung Lelaki (UNIMAS Lanyek)