KUCHING, 09 JANUARI 2021 (SNN) : Kes kehilangan seorang lelaki ketika menghantar bot ke Kampung Lundu yang telah masuk hari ke enam SAR ditamatkan susulan penemuan mayat mangsa yang terdampar di pantai Kampung Trombol oleh orang awam pada awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, operasi Search And Rescue (SAD) yang telah masuk hari keenam itu ditamatkan serta-merta pada jam 10 pagi ekoran penemuan mayat mangsa.
Pada Ahad lepas, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Maritim berhubung kejadian mangsa hilang dilaut dan meminta untuk melakukan kerja-kerja SAR.
Pihaknya mengesahkan mayat yang dijumpai itu adalah Samsudin Beden, 59 tahun yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu semasa hendak menghantar bot ke Kampung Lundu.
Terdahulu, operasi SAR dilakukan di perairan Santubong dengan kerjasama 36 anggota Bomba dan Penyelamat, 33 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), 17 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, 13 Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia dan 19 anggota Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan enam buah bot.