KUCHING, SARAWAK, 25 Jun 2019 (SNN) – YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari bin Tun Abang Openg telah mengumumkan Kerajaan Negeri Sarawak akan membantu sebanyak RM25 juta untuk pembinaan Kompleks Wisma Melayu Sarawak. Beiiau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis SAMArindok Adilfitri AKYBMS 2019 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, Sarawak malam tadi.
Para jemputan yang berjumlah hampir 900 orang Melayu Sarawak dan umat Muslim Sarawak telah menyambut pengumuman tersebut dengan tepukan gemurah sebagai tanda kegembiraan dan terima kasih kepada pemimpin mereka.
Terdahulu dari itu YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS telah menyampaikan ucapan alu-aluan. Antara lain beliau telah menegaskan bahawa hak Melayu Sarawak akan dituntut dan dipertahankan oleh AKYBMS. Ini adalah selari dengan visi AKYBMS yang bertekad menjadi pembela bangsa Melayu Sarawak dan misinya untuk mencemerlangkan bangsa ini.
Di samping itu juga Awang Tengah telah memaklumkan kepada hadirin-hadirat tentang projek Kompleks Wisma Melayu Sarawak. Beliau menjelaskan projek ini akan dimulakan pada tahun ini juga dengan majlis pecah tanah pada bulan Ogos 2019 ini.
Majlis ramah-tamah hari raya adalah acara puncak AKYBMS setiap tahun yang mendapat sambutan yang hebat dari kalangan masyarakat Melayu dan Muslim, khususnya di kotaraya Kuching. Pada tahun ini para jemputan telah dikejutkan dengan persembahan tari teater Kembara Datuk Merpati, Raja Santubong yang memaparkan kegemilangan tamadun Melayu Sarawak pada zaman dahulu.
Di samping ramai juga para jemputan yang memakai tengkolok di kalangan lelaki dan keringkam di kalangan wanita.