LIMBANG, 11 FEBRUARI 2021 (SNN) : Persatuan Kadayan Limbang menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas meluluskan peruntukan bagi membina Bangunan Persatuan Kadayan Limbang bernilai RM5.9 juta.
Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, permohonan sebidang tanah seluas 1.6 ekar bagi membina ruangan pejabat serta komponen lain seperti dewan dan premis perniagaan itu sudah diluluskan sejak tahun 2019 lagi.
“Setelah permohonan tersebut dululuskan pihak Persatuan Kadayan Limbang berbincang dan membuat perancangan untuk membina struktur bangunan di atas tapak yang telah diluluskan namun memerlukan dana yang besar dalam anggaran RM5.9 juta.
“Hasil perbincangan dengan pihak konsultan, kos yang dianggarkan bernilai RM5.9 juta itu diajukan kepada Ketua Menteri pada hujung tahun lepas dan permohonan dana tersebut telah diluluskan bagi memulakan projek pembinaannya,” kata beliau semasa Majlis Penyerahan Cek Ketua Menteri Sarawak serta Geran Peruntukan Pembangunan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Bukit Kota di Bilik Seminar Anjung Usahawan Limbang pada Selasa.
Tambah beliau, peruntukan yang ada ini diharapkan akan memberi manfaat kepada pembinaan bangunan tersebut serta menjaga kepentingan masyarakat Kedayan di Limbang melalui Persatuan Kadayan Limbang.
Di majlis yang sama, beliau turut menyampaikan cek MRP ADUN Bukit Kota kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pahlawan, Kampung Limpaki, Rh Senggat, Kampung Benuas, Kampung Seberang Kedai, Kampung Masjid Gadong dan Masjid Kampung Pahlawan.
