KUCHING, 31 Mac 2019 (SNN)- Kerajaan Sarawak akan beri peruntukan RM8 juta untuk sekolah aliran Cina. Pendidikan untuk masyarakat Cina di Sarawak tidak dipinggirkan apabila Kerajaan Negeri Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk sekolah aliran Cina bagi tahun ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, sumbangan bagi tahun ini ditambah sebanyak RM1 juta daripada RM7 juta yang diperuntukkan pada tahun lalu untuk sekolah tersebut menjadikan sumbangan berjumlah RM8 juta.
“Seperti yang anda tahu, pendidikan amat dekat dengan hati kita semua terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina, mereka sanggup memberi pengorbanan demi pendidikan anak-anak. Sama seperti dengan masyarakat lain kerana hanya melalui pendidikan kita dapat mentransformasikan masyarakat kita untuk bergerak maju,” katanya semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-35 Persekutuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dan Makan Malam Kutipan Amal Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Bako di Dewan Alumni SJK Chung Hua No. 3 di sini, semalam.
Menurut Abang Jo lagi, melalui ilmu pengetahuan juga rakyat dapat menyumbangkan semula kepada kebajikan masyarakat di negeri ini.
“Sebab itu, pendidikan ini sebahagian daripada keutamaan kerajaan Sarawak yang mana kita beri penekanan terhadap naik taraf dan membantu sekolah di Sarawak. Malah, merangkumi semua jenis sekolah, sekolah kerajaan, sekolah bantuan dan sekolah Cina kerana ini adalah peranan yang penting daripada kita bagi membolehkan kita maju ke hadapan dan membangunkan diri kita dalam ilmu pengetahuan dan teknologi moden,” tegasnya.
Pada majlis itu juga Abang Jo turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk menambah dana sedia ada bagi pembinaan semula SJK Chung Hua Bako di tapak baharu di Taman Belian, Kota Samarahan. “Saya difahamkan kos untuk bina semula sekolah baharu ini menelan belanja sebanyak RM6 juta, malam ini pihak pengurusan berjaya mengumpul kutipan dana RM3 juta dan oleh itu, kerajaan Sarawak akan menambah RM3 juta bagi mencukupkan jumlah yang diperlukan.
“Apa yang saya janjikan saya akan penuhi kerana janji adalah janji,” ujarnya mengakhiri ucapan.