Kuching, 30 Mac 2019 (SNN)- Karnival Darul Hana akan memperkasa peranan masjid sebagai pusat utama aktiviti kemasyarakatan. Karnival ini akan menemui warga Kuching dengan berkonsepkan Fiesta Mensia Marek bermula 13-19 April 2019, bertempat di Perkarangan Masjid Darul Hana, Petra Jaya, Kuching.
Antara objektif Karnival Darul Hana adalah untuk menyemai identiti Darul Hana dan menyatupadukan masyarakat Seberang Hilir melalui penganjuran ‘Program Mega’. Dalam masa yang sama dapat mengenalpasti khazanah lama dan permainan tradisional di kalangan masyarakat Seberang Hilir yang boleh diangkat sebagai elemen tarikan pelancong bagi projek Darul Hana yang berkonsepkan penempatan melayu moden serta memperkasakan peranan masjid sebagai pusat utama aktiviti kemasyarakatan selagi mana tidak melanggar adab susila dan peraturan-peraturan masjid.
Pelbagai aktiviti dan pengisian sempena karnival yang berlangsung dari 13-19 April 2019 iaitu :
1. Aktiviti Utama
Akan diadakan Sukan Rakyat, Pertandingan Gerai Tradisi, Kursus Kesempurnaan Solat Perdana, Pendaftaran Askar Wataniah, Pameran oleh Agensi Kerajaan serta Forum Pencegahan Jenayah.
2. Demonstrasi
Akan diadakan demonstrasi Pembuatan Kuih Traditional, Tenunan Keringkam,Anyaman Tikar, Permainan Mensia, Tempur Tanpa Senjata, Pencegahan Jenayah serta Mencegah Kebakaran.
3. Program Kesihatan
Akan diadakan Kempen Derma Darah, serta Saringan Kesihatan dan Pergigian
4. Program Keusahawanan Komuniti
Akan diadakan Dapur Darul Hana, Gerai Usahawan Seberang Hilir serta Food Truck.
5. Aktiviti Sampingan Lain
Antara aktiviti sampingan lain yang akan diadakan termasuklah Larian Keluarga Darul Hana, Perasmian Inisiatif Food Bank, Pertandingan RC Crawler 4×4, Jualan Carboot serta Pesta Sains.
Darul Hana Berselawat akan memulakan tirai pengisian acara karnival dengan Kuliah Magrib oleh Ustaz Hasfa Bakry Bin Hassan pada 13 April 2019, jam 0630 petang.
Selain itu Ceramah Perdana oleh Ustaz Don Daniyal juga akan diadakan pada 19 April 2019, jam 0700 malam .
Orang ramai, khususnya warga Kuching dijemput beramai-ramai untuk turut sama memeriahkan karnival ini yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.