Kuching, 10 April 2019 (SNN)- Karnival Darul Hana 2019 sediakan pelbagai acara menarik dan program menarik yang telah dirancang yang julung kalinya diadakan di perkarangan Masjid Darul Hana pada 13, 14 dan 19 April ini. Menteri Muda Elektrik Luar Bandar YB Datuk Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata pihaknya mensasarkan seramai mungkin pengunjung yang hadir pada hari berlangsungnya karnival tersebut.“Kita amat mengalu-alukan seramai mungkin masyarakat sekitar Kuching dan yang berdekatan untuk hadir ke karnival ini memandangkan ianya julung kali diadakan”.
“Pelbagai acara dan aktiviti menarik telah disediakan di sepanjang karnival ini berlangsung antaranya sukan rakyat, gerai tradisi, pertandingan fotografi, pembuatan kuih tradisional, tenunan keringkam, permainan mensia marek, ‘food truck’ dan banyak lagi. Pengunjung juga boleh menyertai cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi”.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di pejabat Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA), semalam. Menurut Abdul Rahman, karnival ini dianjurkan PELITA bersama Pertubuhan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kampung Seberang Hilir dan Jawatankuasa Masjid Darul Hana.
Karnival ini akan menemui warga Kuching dengan berkonsepkan Fiesta Mensia Marek ini juga akan memperkasa peranan masjid sebagai pusat utama aktiviti kemasyarakatan. Antara objektif Karnival Darul Hana adalah untuk menyemai identiti Darul Hana dan menyatupadukan masyarakat Seberang Hilir melalui penganjuran ‘Program Mega’. Dalam masa yang sama dapat mengenalpasti khazanah lama dan permainan tradisional di kalangan masyarakat Seberang Hilir yang boleh diangkat sebagai elemen tarikan pelancong bagi projek Darul Hana yang berkonsepkan penempatan melayu moden serta memperkasakan peranan masjid sebagai pusat utama aktiviti kemasyarakatan selagi mana tidak melanggar adab susila dan peraturan-peraturan masjid.
Pelbagai aktiviti dan pengisian sempena karnival yang berlangsung dari 13-19 April iaitu :
1. Aktiviti Utama
Akan diadakan Sukan Rakyat, Pertandingan Gerai Tradisi, Kursus Kesempurnaan Solat Perdana, Pendaftaran Askar Wataniah, Pameran oleh Agensi Kerajaan serta Forum Pencegahan Jenayah.
2. Demonstrasi
Akan diadakan demonstrasi Pembuatan Kuih Traditional, Tenunan Keringkam,Anyaman Tikar, Permainan Mensia, Tempur Tanpa Senjata, Pencegahan Jenayah serta Mencegah Kebakaran.
3. Program Kesihatan
Akan diadakan Kempen Derma Darah, serta Saringan Kesihatan dan Pergigian
4. Program Keusahawanan Komuniti
Akan diadakan Dapur Darul Hana, Gerai Usahawan Seberang Hilir serta Food Truck.
5. Aktiviti Sampingan Lain
Antara aktiviti sampingan lain yang akan diadakan termasuklah Larian Keluarga Darul Hana, Perasmian Inisiatif Food Bank, Pertandingan RC Crawler 4×4, Jualan Carboot serta Pesta Sains.
Darul Hana Berselawat akan memulakan tirai pengisian acara karnival dengan Kuliah Magrib oleh Ustaz Hasfa Bakry Bin Hassan pada 13 April 2019, jam 0630 petang.
Selain itu Ceramah Perdana oleh Ustaz Don Daniyal juga akan diadakan pada 19 April 2019, jam 0700 malam .
Karnival ini akan dirasmikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 13 April 2019, jam 10 pagi di perkarangan Masjid Darul Hana.