KUCHING, 13 FEBRUARI 2021 (SNN) : Kampung Salak, Kuching yang terletak di sebuah pulau kecil tidak tersisih daripada menerima limpahan pembangunan dan kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan negeri Sarawak sepertimana yang dinikmati oleh kawasan kampung-kampung lain.
Melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan di setiap kawasan ADUN, kawasan-kawasan luar bandar dibangunkan agar dapat merapatkan jurang pembangunan serta penyediaan kemudahan asas antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bagi kawasan DUN Pantai Damai telah banyak projek RTP berjaya dilaksanakan termasuklah kawasan Kampung Salak dengan penyediaan bekalan asas seperti kemudahan bekalan air bersih dan elektrik yang mencukupi.
“Tidak hanya itu, kawasan kampung ini turut dibekalkan dengan kemudahan jaringan telekomunikasi dan internet bagi memastikan mereka terhubung dengan kawasan luar pulau serta mendapatkan maklumat samada untuk pembelajaran mahupun penggunaan awam melalui jaringan internet.
“Kita sedang berusaha untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan Kampung Salak seperti inap desa, persiaran laut serta menikmati hidangan hasil dari laut yang boleh membantu menambahkan pendapatan penduduk sekitar,” katanya ketika merasmikan Program Pantai Damai Prihatin 2021 di Kampung Salak di sini, hari ini.
Ujar beliau, dalam jangka waktu yang akan datang kawasan DUN Pantai Damai akan terus menikmati pelbagai pembangunan terutama kawasan luar bandar melibatkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
![](https://sarawaknewsnetwork.com/layout2/wp-content/uploads/2021/02/WhatsApp-Image-2021-02-13-at-16.57.32-1024x683.jpeg)