Kabong, 06 April 2019 (SNN)- Kabong mampu menganjurkan kolokium pendidikan di peringkat antarabangsa. Pertandingan Kolokium Penyelidikan Kajian Tindakan Dan Inovasi Guru (KPKTDIG) merupakan program yang boleh memacu usaha ke arah melahirkan guru berinisiatif dan berinovasi dalam bidang keguruan di negara ini.
ADUN N40 Kabong, YB Mohd. Chee Kadir berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Kolokium Penyelidikan Kajian Tindakan Dan Inovasi Guru (KPKTDIG) Peringkat Kebangsaan 2019 bertempat di Dewan Polis, Kabong di sini hari ini.
Chee Kadir berkata, acara yang dijalankan boleh menjadi sebagai platform untuk warga pendidik berkolaborasi, berkongsi idea dan berganding tenaga untuk mempertingkatkan ilmu dalam melahirkan pelajar cemerlang dan sekolah yang berketerampilan.
“Tema program pada kali ini adalah “Mengupayakan Transformasi Pendidikan Melalui Penyelidikan” ternyata amat bertepatan, memandangkan penyelidikan inovasi akan memberi impak positif untuk profesion keguruan dengan banyak perkongsian dan percambahan ilmu dapat dilakukan”, ujar Chee Kadir lagi.
Pertandingan Kolokium Penyelidikan Kajian Tindakan Dan Inovasi Guru (KPKTDIG) Peringkat Kebangsaan 2019 kali ini menyaksikan penyertaan seramai 51 peserta dari seluruh Malaysia yang telah mempersembahkan projek serta inovasi masing-masing dalam pertandingan yang berlangsung dari 4 hingga 6 April 2019.
Peserta yang mengambil bahagian dalam kategori pembentangan kajian terdiri daripada peserta dari Sarawak, yang melibatkan 14 wakil, Sabah dengan enam peserta, Perak seorang peserta, Selangor dengan empat peserta, Johor dan Terengganu masing-masing dengan dua peserta. Manakala untuk kategori inovasi pula, Sarawak menghantar 24 peserta, Selangor dengan dua peserta, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing seorang peserta. Peserta yang terlibat masing-masingnya mewakili Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej, sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negara.
Chee Kadir turut melahirkan rasa kagum dan mengucapkan tahniah atas usaha yang dilakukan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong dan SJKC Chung Hua Kabong yang bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Sararok dalam menjayakan program yang berprestij ini.
“SK Abang Leman, SJKC Chung Hua Kabong telah menjadi perintis kepada penganjuran acara sebesar ini di sekolah rendah. Dokongan penuh daripada pihak pejabat pendidikan daerah juga amat baik sekali dalam memastikan acara ini menjadi satu kenyataan”. Tambahnya, “penyertaan yang amat banyak daripada peserta menjadi bukti bahawa para guru sentiasa komited dan berusaha memajukan diri dan mencari dapatan baharu untuk melonjakkan mutu pendidikan”.
Chee Kadir turut berharap penglibatan dan penganjuran program sebegini diteruskan ke peringkat antarabangsa. Ini akan membantu mempromosi Kabong bukan sahaja dikenali dalam sektor pelancongan seperti festival layang-layang antarabangsa tetapi turut dikenali dalam pembangunan sektor pendidikan di peringkat antarabangsa. Justeru dalam ucapannya Chee Kadir mencabar pihak PPD Saratok untuk mengelolakan kolokium sebegini di peringkat antarabangsa pula.
“Harapan saya para peserta boleh datang lagi pada tahun depan. Insya Allah saya akan bantu untuk menjayakan kolokium yang seterusnya tahun depan dengan memberi dana kewangan bagi pengelolaannya”, ujarnya diikuti tepukan gemuruh daripada hadirin.
Hadir sama pada majlis penutupan ini adalah Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Anis Madeli,Guru Besar SK. Abang Leman Kabong, Haji Bujang Lee, Guru Besar SJKC Chung Hua Kabong, Chang Tsai Heng, Yang Dipertua PIBG SK Abang Leman Kabong, Johan Haji Rahman, Penyelaras Program KPKTDIG, Hajah Maimon Alli, peserta program KPKTDIG dan tetamu jemputan khas yang lain.