Kuching, 18 Mac 2019 (SNN)- Jom Masuk IPT 2019 Zon Sarawak datang lagi. Ini bersesuaian dengan musim kesibukan buat pelajar SPM dan STPM yang bercadang untuk menyambung pengajian mereka melalui pelbagai kursus pilihan melalui Permohonan UPU. Sehubungan dengan itu, Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2019 sekali lagi membawa Program Jom Masuk IPT 2019 Zon Sarawak, yang mana kali ini bertempat di MYDIN, Petra Jaya Kuching.
Program ini yang akan berlangsung selama 2 hari iaitu bermula pada 23 Mac 2019 hingga 24 Mac 2019 ( Sabtu dan Ahad ), bermula seawal jam 9 pagi hingga 5 petang. Program 2 hari yang dibuka secara percuma ini bakal diisi dengan pelbagai acara dan aktiviti untuk pengunjung yang datang ke program ini. Antara pengisian pada Program Jom Masuk IPT 2019 yang mana UNIMAS sekali lagi dilantik sebagai hos program pada kali ini adalah, Konsultasi UPU Online, Pameran Pendidikan, Konsultasi Bersama 50 Universiti/ Institusi/ Kolej Awam dan Swasta, Saringan Kesihatan Secara Percuma, Goodies dari pelbagai Universiti untuk para pengunjung, Meet and Greet Najwa Latif, Persembahan Kebudayaan Band Akustik & Modern Dance, Program Bersama Alumni UNIMAS, serta Aktiviti Santai oleh Pelajar-Pelajar UNIMAS.
Antara manfaat yang bakal diperolehi apabila hadir ke karnival ini adalah seperti berikut :
1. Mendapatkan maklumat mengenai institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini termasuk pelbagai program yang ditawarkan.
2. Mendapatkan maklumat jelas berhubung peluang melanjutkan pengajian di IPT termasuk program ditawarkan mengikut kesesuaian kelayakan akademik seseorang pelajar.
3. Memberi idea dalam melanjutkan pengajian tinggi dan halatuju pengajian seterusnya.
4. Memudahkan pelajar untuk membuat keputusan yang tepat dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kelak.
5. Mendapat nasihat pemilihan program pengajian dari wakil IPT
6. Memperolehi maklumat yang lanjut berkaitan pilihan program pengajian yang diminati.
7. Membuat perbandingan di antara satu institusi dengan institusi pengajian tingi yang lain.
Program anjuran Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai dalam mendapatkan maklumat terperinci berkaitan program pengajian yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Kolej Komuniti, Politeknik dan Institut Latihan Kemahiran Awam yang lain. Para pelajar juga boleh berjumpa terus dengan wakil-wakil dari universiti dan kolej semasa program tersebut untuk mendapatkan maklumat berhubung permohonan untuk melanjutkan pengajian, pembiayaan pendidikan, syarat-syarat yang diperlukan serta maklumat-maklumat lain yang berkaitan.