More
    Home Sarawak Betong DUN Kabong Perlukan Lebih Banyak Pembangunan

    DUN Kabong Perlukan Lebih Banyak Pembangunan

    KUCHING, 09 Mei 2019 (SNN)- Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong masih mendambakan lebih banyak lagi pembangunan dilaksanakan di kawasan itu. Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-18 di sini, baru-baru ini.

    “DUN Kabong masih memerlukan banyak lagi pembangunan terutamanya kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, sistem telekomunikasi, pendidikan, fasiliti sukan, jalan perhubungan dan sebagainya,” katanya. Mengulas lanjut mengenai keperluan dikehendaki rakyat Kabong, Chee Kadir berkata kemudahan feri bagi menghubungkan pekan Kabong dengan Kampung Paloh, mewujudkan Kompleks Pejabat Daerah Kabong yang baharu, Skim Pembesaran Kampung Hulu, Kabong, Dewan Masyarakat Kabong, membina sebuah Balai Bomba baharu, penyelenggaraan parit dan pintu air, adalah keperluan yang perlu diatasi segera.

    Tambahnya, pendekatan holistik diperlukan bagi pembangunan di kawasan Kabong untuk memastikan golongan belia akan menahan diri daripada berhijrah ke kawasan bandar.”Antara permasalahan yang sering membelenggu rakyat di Kabong iaitu bekalan air bersih yang seperti tiada kesudahannya.

    “Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan RM87 juta untuk menangani masalah bekalan air di kawasan Kabong. Pengumuman ini telah dibuat semasa Program Sejiwa Senada di Saratok pada 22 April 2018 lalu. Lebih setahun telah berlalu, namun rakyat belum melihat permulaan kerja-kerja pemasangan paip dari Tangki Penyimpanan Air di Simpang Roban ke Pekan Kabong,” ujarnya.

    Situasi bekalan air di pekan Kabong kata Chee Kadir, amat-amat tidak memuaskan sejak beberapa tahun ini.”Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bekalan air di Kabong semakin kritikal lebih-lebih lagi di musim perayaan,” kata beliau.

    Beliau turut meminta Kementerian Utiliti memberi perhatian terhadap permohonan untuk memasang paip ke beberapa buah rumah panjang di Ulu Roban seperti Rh. Belayong, Rh.Chaong, Rh.Empaling dan Rh.Entengan. Namun begitu, Chee Kadir mengucapkan terima kasih atas penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Sarawak Energy yang telah membina satu talian tambahan dari Roban ke Kabong yang telah siap beberapa bulan yang lalu. Kekerapan insiden ‘black out’ kini semakin berkurangan.

    “Walaubagaimanapun, rakyat di kawasan Kabong masih tertunggu-tunggu untuk pihak Sarawak Energy membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah mereka. Pihak Pejabat Daerah telah menghantar permohonan-permohonan kepada jabatan yang berkaitan namun hingga kini, penduduk-penduduk yang hampir 1,000 jumlahnya, masih tertunggu-tunggu,” jelasnya.

    Kata Chee Kadir, Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Kabong yang merupakan satu-satunya sekolah menengah yang ada di daerah Kabong, masih lagi beroperasi dengan dua sesi sejak 20 tahun lalu.”Pada penghujung tahun 2018, saya telah membantu dengan menggunakan peruntukan MRP untuk mengubahsuai beberapa bangunan untuk dijadikan bilik darjah serta membantu untuk membeli peralatan seperti kerusi dan meja. Saya amat hairan kenapa proses memberi kelulusan untuk operasi satu sesi mengambil masa yang begitu panjang. Ketika ini, SMK Kabong belum lagi beroperasi satu sesi seperti sekolah-sekolah lain,” katanya lagi.

    Bagi pembinaan SK Abang Leman yang baharu katanya, telah begitu lama diluluskan tetapi hingga ke hari ini, belum lagi di bina.”Kelewatan ini amat mengecewakan rakyat di Kabong dan meminta agar kerajaan perihatin dengan membina sekolah baru dengan kadar yang segera,” tambahnya.

    Beliau juga turut meminta Kementerian Belia Dan Sukan untuk membantu membina gelanggang futsal di Kampung Gerigat, Empelam, dan sebuah gelanggang di sepanjang Jalan Sungai Pasir- Selalang untuk kegunaan belia-belia dari rumah-rumah panjang dalam kawasan itu. Padang Sepak Takraw juga diperlukan di Kampung Nyabor.

    Beliau mendedahkan telah menerima permintaan dari rakyat Kabong agar diwujudkan perkhidmatan feri untuk menghubung pekan Kabong dengan Kampung Paloh di muara Sungai Krian.”Mereka mengharap impian mereka menjadi kenyataan dan ada perkembangan positif terhadap permintaan mereka selepas Menteri Muda Jalan Pesisir membuat lawatan beliau di Kabong beberapa bulan yang lalu,” kata Chee Kadir.

    Terang beliau lagi, sejak diberi status daerah penuh sejak empat tahun yang lalu, semua urusan pentadbiran daerah diuruskan di bangunan Pejabat Daerah Kecil yang sempit dan tidak sesuai. “Adalah diketahui umum bahawa Pejabat Daerah Kabong akan mendapat kompleks yang baru bersebelahan dengan SMK Kabong. Tetapi kerja-kerja pembinaan belum kelihatan, malah kerja-kerja awal seperti membersih tapak pun belum dilaksanakan,” katanya.

    Dalam pada itu, Dewan Masyarakat yang sedia ada di Kabong adalah dalam keadaan yang usang dan daif. Rakyat di Kabong katanya, ingin mendapat Dewan Masyarakat yang baharu untuk mengganti yang sedia ada.”Untuk membina Dewan Masyarakat yang baharu, peruntukan sebanyak RM2.5 juta diperlukan untuk menambah RM1 juta yang telah dilulus oleh Arwah Tok Nan pada tahun 2016.

    “Rakyat di Kabong meminta jasa baik Ketua Menteri memberi peruntukan khas RM2.5 juta untuk membina sebuah Dewan Masyarakat yang baharu. Kerajaan telah melulus pembinaan Dewan Masyarakat di Pusa dan Beladin masing-masing dengan kos RM3.5 juta,” katanya.

    Kampung Kabong menurut Chee Kadir, merupakan sebuah kampung yang begitu padat dan sesak. Rumah-rumah dibina begitu rapat.”Sekiranya berlaku kebakaran maka ianya dengan pantas akan merebak dan banyak rumah-rumah akan musnah dalam masa yang singkat. Maka adalah wajar sebuah Balai Bomba dibina di Kabong.

    “Buat sementara ini, Jabatan Bomba Dan Penyelamat diminta membantu menubuhkan Bomba Sukarela untuk mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan Pasukan Bomba dari Saratok,” ujar beliau.

    Mengulas lanjut, Chee Kadir turut memberi cadangan agar kerajaan Sarawak membina keretapi elektrik dari Kuching hingga ke Miri.”Keretapi merupakan aspek pengangkutan awam yang efisen dan berdaya saing yang digunapakai di negera-negara maju dan telah dilaksanakan sekian lama hingga ke hari ini. Di Malaysia pun pengangkutan keretapi digunakan di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

    “Saya ingin mencadangkan agar kajian dibuat untuk membina keretapi elektrik dari Kuching ke Miri. Kuasa Elektrik untuk menggerakkan railway tersebut begitu banyak dari sumber hidro Bakun, Batang Ai, Murum dan akan datang, Baleh. Kuasa elektrik yang banyak, mesra alam dan murah akan memberi daya saing yang hebat kepada pengusaha keretapi elektrik itu nanti,” ujarnya.

    Beliau telah menyeru agar semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agar memberi sokongan kepada Ketua Menteri dalam rundingan untuk mengembalikan semula hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Bagi menyahut seruan tersebut, beberapa hari yang lalu, rakyat Sarawak melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang mereka pilih telah sebulat suara meluluskan Ministerial Motion yang mahukan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memberi Sarawak taraf sama rata dengan Malaya dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis. Hak-hak Sarawak di bawah MA63 juga hendaklah diberi pengiktirafan.

    “Saya mengharapkan Kerajaan Sarawak mengambil tindakan untuk menentukan status Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Continential Shelf Act dengan kadar segera kerana kedua-dua akta ini telah menghakiskan atau menidakkan hak-hak kita atas sumber alam yang kita miliki dan membenarkan orang lain mengambilnya,” jelasnya lagi.

    Mohd Chee Kadir semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-18 ( Foto- TVS)

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Komplek Wisma Melayu Sarawak milik AKYBMS kini capai kemajuan 30 peratus...

    0
    KUCHING, 29 MAC 2024 (SNN): Peratusan Projek Pembinaan Wisma Melayu milik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Jalan Dilpomatik, Petra Jaya kini...